NANAS MD2 TANAMAN BERKUALITI

image

SEBUT sahaja nanas pasti terbayang warnanya yang kuning serta rasanya yang masam dan manis serta kenakkannya apabila dicicah dengan kuah rojak.

Namun, adakah kita tahu terdapat pelbagai jenis nanas di luar sana, dan paling digemari kerana kemanisannya adalah nanas MD2 yang dikomersialkan dalam negara.

Ketua Pengarah, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sahdan Salim berkata, nanas MD2 dibawa masuk ke Malaysia pada 2008 dengan kerjasama Johor Tropical Products, yang merupakan anak syarikat Johor Corporation (JCorp).

“Masa itu JCorp memberi dana RM3 juta untuk membawa seberapa banyak benih MD2 masuk ke dalam negara dan ditanam untuk dibiakkan di ladang yang terpencil,” katanya ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian di Serdang.

Menurutnya, harga sepokok nanas MD2 ketika dibawa masuk ke Malaysia adalah RM2.50 berbanding benih lain serendah 20 sen.

“Jadi pekebun kampung memang tidak mampu untuk membeli benih MD2 kerana harganya mahal ketika itu. Jadi saya mengambil satu inisiatif untuk membantu mereka dan sekali gus mengkomersialkan MD2.

“Apa yang saya lakukan adalah memohon bantuan kewangan daripada kementerian untuk membantu pekebun kita dan Alhamdulillah saya memperoleh RM5 juta bagi tujuan tersebut melalui program Jutawan Nanas,” katanya.


Pendapatan bersih RM20,000 sebulan

Sahdan berkata, program Jutawan Nanas dimulakan pada 2013 telah disertai 16 individu yang layak sahaja dan pemilihan peserta dilakukan sendiri olehnya di serata negara.

“Kesemua mereka dipilih oleh saya melalui kriteria pemilihan yang ketat di mana saya mestilah mengenali mereka, tahu lokasi ladang, pengalaman dan juga mempunyai sedikit bajet untuk perbelanjaan.

“Semasa dalam program saya akan memantau mereka serta mengadakan perjumpaan tiga bulan sekali bagi memastikan program tersebut berjaya bagi tempoh setahun setengah,” katanya.

Menurutnya, selepas setahun setengah program itu dijalankan, lima daripada 16 peserta Jutawan Nanas berjaya memperoleh pendapatan bersih melebihi RM20,000 sebulan hasil daripada jualan nanas MD2.

“Lima lagi peserta berjaya memperoleh pendapatan bersih di bawah RM20,000 dan bakinya belum mencapai sasaran yang ditetapkan dengan memperoleh pendapatan bersih antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan,” katanya.

Menurutnya, melalui program tersebut, LPNM akan memberi benih nanas MD2 secara percuma kepada peserta menggunakan sistem pawah di mana apabila hasil tanaman berjaya pekebun perlu memberi semula dua benih nanas MD2 bagi setiap pokok yang diterima daripada LPNM.

“Untuk pusingan pertama, peserta perlu menanam nanas MD2 seluas 10 ekar dan selepas berjaya, mereka perlu menambah 20 ekar lagi tanaman bagi pusingan kedua. Akhir sekali tambahan 20 ekar lagi bagi pusingan ketiga.

“Secara keseluruhan mereka akan menanam nanas MD2 seluas 50 ekar dengan tempoh lima tahun dan mengikut kiraan saya mereka mampu menjana pendapatan bersih RM1.2 juta setahun,” katanya.


Perluas tanaman MD2

Adalah menjadi harapan Sahdan dan LPNM untuk melihat nanas MD2 menjadi sebutan orang ramai kerana kualiti dan kemanisannya, pada masa sama mampu memenuhi permintaan eksport.

“Kita akan memulakan tanaman MD2 di Sarawak tahun hadapan bagi memperluaskan lagi kawasan tanaman MD2 dalam negara untuk memenuhi permintaan eksport.

“Kami mempunyai matlamat untuk meluaskan jumlah tanaman MD2 kepada 5,000 hektar bagi mengubah landskap industri nanas negara dengan terus memohon peruntukan daripada kerajaan,” katanya.

Setakat ini, keluasan tanaman MD2 baru mencecah 1,000 hektar di beberapa lokasi seperti Rompin, Pahang dan Mersing Johor.

KENALI MD2

-Berasal dari Hawaii

-Dibawa masuk ke Malaysia pada 2008

-Rasanya yang lebih manis

-Berat antara 1.3 hingga 2.5 kilogram sebiji

-Rupa buah berwarna kuning keemasan dan mata yang besar

-Memiliki bentuk silinder dan segi empat lonjong

-Sesuai ditanam di kebanyakan jenis tanah

Tahan lasak dan tidak mudah rosak

-Isi buah berwarna kuning dan padat

-Mempunyai kandungan vitamin C empat kali ganda lebih tinggi

-Harga benih MD2 bernilai RM1.50 sepokok

LPNM meletakkan harga lantai MD2 RM2 sekilogram

Harga pasaran MD2 boleh mencecah sehingga RM3.50 sekilo

Pulangan jualan MD2 kepada pengusaha boleh mencecah 200 peratus

-SINAR HARIAN

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial