Nauraj, Aisyah Dinobat Olahragawan Dan Olahragawati Anugerah Sukan Johor 2015


img_0511

 

JOHOR BAHRU, 26 Okt – Nauraj Singh Randhawa, 24, atlet olahraga dalam sukan lompat tinggi dinobat sebagai Olahragawan, manakala atlet perahu layar wanita, Nur Aisyah Jamil, 20, pula dinobat sebagai Olahragawati Anugerah Sukan Johor bagi tahun 2015.

Kejayaan memenangi pingat emas di Sukan SEA Singapura dalam kategori masing-masing melayakkan mereka membawa pulang hadiah berupa insentif kemenangan berjumlah RM5,000, piala pusingan dan piala iringan serta sijil.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, pada Majlis Malam Anugerah Sukan Johor 2015, di Persada Johor, malam ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Mohd Radzi Mohd Amin.

Mereka adalah antara pemenang bagi 15 anugerah yang terdiri daripada pelbagai kategori sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih Kerajaan Negeri kepada para atlet atas kecemerlangan mereka melalui sukan.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang berucap pada majlis itu berkata atlet-atlet Johor yang akan beraksi pada SUKMA 2020 disaran untuk berlatih lebih gigih.

“Kita akan menjadi tuan rumah SUKMA 2020, maka gunakanlah masa yang ada dalam tempoh tiga tahun lagi itu untuk merancang dan berlatih dengan lebih gigih.

“Atlet kita perlu jadi juara dan memberikan yang terbaik dalam semua acara. Contohilah rakan-rakan yang telah menunjukkan prestasi membanggakan negara seperti Tan Wee Kiong, Siti Noor Radiah Ismail dan Muhammad Farhan Harun,” katanya.

Beliau turut berkata bahawa bidang sukan juga berpontensi untuk menjadi salah satu pilihan kerjaya profesional serta mampu memberi masa depan yang baik dan lumayan melalui kerja keras yang berterusan.

“Saya juga menyeru semua atlet, ahli sukan dan masyarakat untuk bersama-sama menjadikan sukan sebagai satu gaya hidup Johor dan rutin dalam mengisi masa lapang.

“Malah, melalui sukan juga dapat dijadikan sebagai satu instrumen perpaduan dan menyuburkan budaya muafakat,” katanya.

Majlis pada malam itu turut diserikan dengan persembahan penyanyi Sufian Suhaimi, Fahmi Mentor dan Tam Spider serta penampilan khas pengulas sukan Zainal Abidin Raup.

 

img_0510

img_0512

img_0513

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial