Ombak Besar: 4 Sekolah Di Pulau Belum Dibuka

01-01-2017_shaharudin

PASIR GUDANG, 1 Jan – Empat sekolah di empat pulau dalam daerah Mersing tidak dapat beroperasi pada hari pertama persekolahan susulan fenomena ombak besar hingga Selasa ini.

Pengarah Pendidikan Johor, Shaharudin Sharif, berkata sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) di Pulau Aur, Pemanggil, Tinggi dan Sibu membabitkan 40 murid dan 36 guru.

Katanya, Jabatan Laut mengeluarkan kenyataan ombak besar dan melarang bot kecil di jeti beroperasi menghantar penumpang ke pulau berkenaan sejak Jumaat lalu menyebabkan guru terkandas di Mersing.

“Semua empat sekolah membabitkan masing-masing 11 murid dan guru di Pulau Aur, tujuh guru dan lima murid (Pemanggil), lapan guru dan tujuh murid (Tinggi) serta 10 guru dan 17 murid di Sibu.

“Berdasarkan makluman Jabatan Laut, keadaan ombak besar dijangka reda pada Selasa ini dan dijangka semua guru yang terkandas dapat pergi ke sekolah dan boleh beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Scientex, di sini sempena hari pertama sesi persekolahan di Johor, hari ini.

Shaharudin berkata, fenomena ombak besar itu biasa berlaku pada permulaan sesi persekolahan atau hari biasa dan bukan perkara luar biasa yang belum pernah berlaku.

“Kebiasaannya, mengikut prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Pendidikan, jika perkara seperti ini berlaku guru terbabit tetap akan bertugas dan ditempatkan di sekolah berhampiran di daerah Mersing,” katanya. – Berita Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial