Ops Tegas: SPAD sita 10 Van Sekolah Haram

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad.

JOHOR BAHRU, 12 April – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) baru-baru ini menyita 10 van persendirian yang menjalankan perkhidmatan awam tanpa Lesen Pengendali yang sah dengan mengambil dan menurunkan murid sekolah.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata 10 van berkenaan dikesan ketika waktu puncak iaitu sekitar tengah hari dan petang di beberapa lokasi sasaran dalam kawasan bandar raya ini.

Katanya, antara lokasi tumpuan Ops Tegas adalah sekitar Bandar Baru Uda, Seri Alam, Taman Daya, Gelang Patah dan Taman Universiti.

“Kami membuat operasi ini berdasarkan aduan bas sekolah beroperasi tanpa permit dan tiada lesen pengendali yang sah mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Bagi kesalahan ini, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain kenderaan yang terbabit boleh dilucut hak,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Che Hasni berkata, SPAD menjalankan operasi berkenaan secara teliti dan berhemah kerana tidak mahu menjejaskan keadaan murid sekolah dan ibu bapa murid terbabit.

“Kita tidak mahu murid ini ditinggalkan atau diminta turun oleh pengusaha van sehingga menyebabkan tahap keselamatan mereka terjejas, jadi kami menggunakan pendekatan lebih berhemah.

“SPAD juga menggunakan pendekatan menarik pemandu atau pengusaha ini untuk mendaftar (mendapatkan lesen dan
permit), selain mempermudahkan syarat untuk mereka membuat pendaftaran,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial