Optimis Laksana PAK-21

Ayub Rahmat (dua dari kanan) bergambar bersama guru-guru sempena Majlis Konvensyen Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) di Universiti Tun Hussein Onn, Johor Bahru.

BATU PAHAT, 18 April – Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pendidikan negeri optimis untuk menjayakan konsep Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) di semua sekolah pada masa depan, sekali gus melahirkan pelajar yang berkemahiran tinggi dan berwibawa.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jabatan berkenaan dengan sokongan daripada pelbagai agensi telah merangka dan menggerakkan konsep pembelajaran alaf baharu itu sebagai satu bentuk transformasi dalam pedagogi pengajaran di dalam dan luar bilik darjah.

Beliau berkata, daripada pedagogi yang dijalankan itu akan lahirnya pelajar yang mempunyai empat kemahiran, iaitu berkolaboratif, berkomunikasi, pemikiran kritis dan kreatif atau 4C.

“PAK-21 menjadi platform baharu bagi melahirkan pelajar yang bukan sekadar ulat buku, bijak membaca dan menulis jawapan di atas kertas atau cemerlang dalam peperiksaan, namun apabila berhadapan dengan realiti, langkahnya kaku dan mindanya beku.

“Apa yang kita hasratkan ialah pelajar yang mempunyai pengetahuan, berkemahiran berfikir, berkemahiran memimpin, berkemahiran dwibahasa, beretika, mempunyai nilai kerohanian yang tinggi dan mempunyai identiti nasional selaras dengan tuntutan semasa dan cabaran masa depan yang lebih kompleks,” katanya pada Majlis Konvensyen PAK-21 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM),dekat sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat.

Mohamed Khaled berkata, dengan kekuatan guru daripada 110 buah sekolah perintis PAK-21 yang terdapat di negeri ini dan Sekolah Amanah, pihaknya meletakkan keyakinan penuh PAK-21 dapat disebarluaskan ke semua sekolah di negeri ini dan menjadi penanda aras bagi pelaksanaannya di dalam negara.

Mengulas konvensyen itu, beliau berharap majlis tersebut dapat menjadi medan permuafakatan semua pihak berkepentingan untuk menjana idea dan memacu gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025), iaitu memacu peningkatan sistem seterusnya memenuhi hasrat gelombang ketiga untuk menganjak ke arah kecemerlangan menerusi peningkatan tadbir urus sendiri. – UTUSAN.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial