Orang Melayu Perlu Ubah Cara Dan Pemikiran

img_0904

 

JOHOR BAHRU, 10 Nov – UMNO Johor mahu orang Melayu mengubah cara dan pemikiran mereka dari sikap dan cara berfikir yang tidak betul, cara kerja yang tidak kompetetif dan tidak berdaya saing serta budaya suka meminta-minta.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, terdapat dua masalah yang membelengu orang Melayu iaitu masalah kebolehsaingan, kebergantungan dan lemahnya nilai berdikari serta ketirisan dan salah keutamaan dalam tindakan afirmatifnya.

Katanya, orang Melayu masih dengan sikap meminta-minta, sikap kebergantungan dan pemikiran bahawa dalam keadaan apa pun, UMNO itu ada dan UMNO terus berkewajipan membantu.

“Pemikiran terkebelakang sebegini adalah satu masalah besar yang menyebabkan orang Melayu mundur. Masalah yang menyukarkan UMNO menjadi lebih progresif.

“Insaflah, bahawa untuk memajukan bangsa Melayu itu, jalannya bukan dengan terus-menerus menyogok Melayu dengan hak keistimewaan, dengan isu ketuanan, dengan kontrak dan projek, dengan segala macam tindakan afirmatif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Konvensyen UMNO Johor 2016 di sini, hari ini yang dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata, perkara itu mesti diperbetulkan kerana jika dibiarkan, ia akan membarah dan menjadi krisis terbesar orang Melayu serta parti.

“Caranya ialah dengan mengubah pemikiran dan sikap orang Melayu ini. Kerana, sekalipun UMNO ditolak dalam pilihanraya akan datang, tiada jaminan bahawa keadaan orang Melayu akan menjadi lebih baik. Jika sikap dan pemikiran sebegini ini tidak diubah. Tukarlah kepada apa parti sekalipun.

“Yang perlu berubah dan diubah sebenarnya adalah pemikiran, sikap dan budaya Melayu itu. Bukannya parti yang menjadi wadah orang Melayu berjuang,” katanya.

Tambahnya, sudah sampai masanya Orang Melayu diasuh berdikari.

“UMNO adalah wadah terbaik melakukan perubahan tersebut kerana UMNO sentiasa memilih jalan yang serius, jalan yang betul dan terbaik untuk orang Melayu.

“Jalan yang selari dan menjawab keperluan orang Melayu. Bukannya menjadikan Melayu bangsa yang terus bernostalgia dengan hak dan keistimewaannya,” ujar beliau lagi.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial