PANDA GERGASI DI ZOO NEGARA LAHIRKAN ANAK

ANAK PANDA / ZOO NEGARA

KUALA LUMPUR: Liang Liang, panda gergasi yang ditempatkan di Zoo Negara, Hulu Klang, dekat sini, sejak Mei tahun lalu, selamat melahirkan seekor anak pada jam 1.45 tengah hari tadi. 

Zoo Negara mengesahkan anak panda betina yang dilahirkan panda gergasi dari Chengdu, China di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) itu dengan berat 175 gram. 

Timbalan Presidennya, Rosli Ahmat Lana, berkata mereka tidak mahu mengganggu haiwan berkenaan kerana masih keletihan dan bimbang kesihatannya terjejas. 

"Selepas melahirkan anak, kami cuba mengalihkan anak haiwan itu ke tempat selamat dan induknya bertindak agresif mengejar petugas zoo. 

"Ketika ini, Liang Liang memeluk erat anaknya untuk melindunginya. Jika diganggu, kita bimbang ia bertindak agresif membunuh anaknya sendiri," katanya. 

Pasangan panda Xing Xing serta Liang Liang tiba di Malaysia pada 21 Mei tahun lalu dan ditempatkan di negara ini selama 10 tahun sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China selama 40 tahun, yang disambut pada 31 Mei lalu. 

Hasil PROGRAM dimeterai pada tahun 2012, penyelidik Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan pemuliharaan panda gergasi selain dapat membangun dan melatih pakar dalam bidang itu. 

Pada 11 Julai lalu, Xing Xing dan Liang Liang gagal dalam proses mengawan untuk kali kedua selepas setahun ditempatkan di GPCC. Dalam pada itu, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa gembira dengan berita kelahiran anak panda berkenaan. 

"Gembira mendapat berita bahawa Liang Liang, panda di Zoo Negara, selamat melahirkan seekor anak pada jam 1.45 tengah hari tadi," kata Perdana Menteri menerusi entri terbaru dalam laman Facebook dan Twitternya. – BH

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial