PAP KEKAL KUASA, MENANG 83 KERUSI PARLIMEN

image

SINGAPURA – Parti Tindakan Rakyat (PAP) kembali berkuasa selepas memenangi 83 daripada 89 kerusi Parlimen dengan meraih 69.86 peratus undi popular dalam Pilihan Raya Umum Singapura.

Parti yang memerintah Singapura sejak 1959 itu turut merampas semula kerusi kawasan tunggal (SMC) Punggol East manakala parti pembangkang, parti Pekerja, memenangi enam kerusi, mengekalkan kubu kuatnya kawasan perwakilan kumpulan Aljunied dan Hougang SMC dengan margin yang berkurangan.

PAP menerima lebih 70 peratus perkongsian undi di 15 daripada 29 bahagian pilihan raya dengan tiga prestasi terbaik di Jurong GRC (kawasan pilihan raya Kumpulan Perwakilan) (79.28 peratus), Ang Mo Kio GRC (78.63 peratus) dan West Coast GRC (78.57 peratus).

Ini merupakan Pilihan Raya Umum ke-17 bagi Singapura dan ke-12 sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1965.

Ia juga pilihan raya umum pertama selepas kematian perdana menteri dan pengasas Singapura, Lee Kuan Yew pada Mac.

Jumlah mereka yang layak mengundi pada pilihan raya umum ini ialah 2.46 juta orang.    

Bagi Pilihan Raya Umum 2015, calon-calon dari sembilan parti politik termasuk PAP bertanding bagi 16 kerusi Kawasan Pilihan Raya Kumpulan Perwakilan (GRC) dan 13 Kerusi Pilihan Raya Kerusi Tunggal (SMC) untuk mengisi 89 kerusi Parlimen.

Lapan lagi parti ialah WP yang bertanding (28 kerusi), Parti Rakyat Singapura (SPP) (lapan), Parti Demokratik Singapura (11), Parti Perpaduan Nasional (12), Perikatan Demokratik Singapura (enam), Parti Reformasi (11), Parti Warga Diutamakan (10) dan Parti Kuasa Rakyat (empat).

Untuk kali pertama sejak 2001, dua calon bebas, Han Hui Hui dan Samir Salim Neji, bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.

Pada pilihan raya umum 2011, PAP kekal berkuasa selepas memenangi 81 daripada 87 kerusi yang dipertandingkan ketika itu. – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial