Abdul Rashid Tabri, 67, yang bersyukur selepas kerajaan negeri menerusi Pejabat Daerah Johor Bahru membina sebuah rumah dengan kos RM45,000, meskipun terpaksa menunggu kira-kira dua tahun bagi mendapatkan kelulusan permohonan tersebut.

Dia yang bekerja sebagai pembantu di sebuah stesen minyak di sini hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM890 sebulan dan perlu menyara tiga orang anaknya, manakala isterinya, Zaharah Othman, 60, turut menghidap beberapa penyakit kronik.

“Bagi kami yang hidup serba kekurangan dan boleh diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ untuk mengubah suai atau memperbaiki rumah pusaka tersebut memang tidak mampu.

“Namun, akhirnya berkat kesabaran dan tidak mengenal putus asa memohon bantuan kepada pihak yang berkaitan, akhirnya kami dikurniakan sebuah rumah yang cukup sempurna dan dilengkapi tiga bilik, ruang tamu, dapur dan tandas.

“Kami benar-benar bersyukur kerana diberikan peluang untuk memiliki rumah sesempurna dan secantik ini. Rumah ini ibarat ‘rumahku syurgaku’ dan selepas ini kami boleh tidur lena kerana tidak perlu risau tentang bumbung bocor terutama apabila hujan lebat,” katanya sambil menadah tangan tanda kesyukuran semasa ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru; Pegawai Daerah Johor Bahru, Abd. Wahab Ridwan; Naib Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar dan Pengerusi Kebajikan Parlimen Johor Bahru, Faridah Mustaffa.

Sementara itu, Zaharah mengakui bantuan yang diberikan itu membawa pelbagai nikmat bagi keluarganya.

“Saya amat terharu apabila Tan Sri Shahrir selaku wakil rakyat begitu komited untuk memenuhi janji bagi menyediakan rumah untuk kami. Kami juga tersentuh apabila beliau sanggup meluangkan masa turun ke kampung kami untuk menyerahkan sendiri kunci rumah baharu ini,” katanya sambil menitiskan air mata.

Sementara itu, Shahrir berkata, pemberian rumah berkenaan merupakan inisiatif yang diambil kerajaan menerusi program ‘Rancangan Sasaran’ yang dilaksanakan oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

“Pada dasarnya rumah seumpama itu diberikan kepada mereka yang mempunyai tanah lot sendiri. Keluarga Abdul Rashid berhak menerima bantuan tersebut berikutan keluarga mereka memenuhi syarat yang diperuntukkan termasuk mempunyai satu lot tanah yang sesuai,” katanya.- UTUSAN MALAYSIA