PASTIKAN ANAK ISTIMEWA ADA KAD OKU

image (9)

Ibu bapa yang memiliki anak istimewa diminta memastikan anak mereka mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) yang boleh diperoleh dalam tempoh dua minggu selepas mendaftar dan mendapat pengesahan doktor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md Ariff berkata, sehingga kini terdapat 44,000 OKU di Johor telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, jumlah tersebut termasuk 2,179 pelatih yang ditempatkan di 69 pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di negeri ini.

“Kerajaan amat menggalakkan dan mengalu-alukan penglibatan sektor korporat atau mana-mana pihak untuk mengadakan program bersama kerajaan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup kanak-kanak istimewa ini.

“Justeru itu, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim telah mewujudkan unit penempatan pekerjaan bagi pemegang kad OKU. Ia bagi memastikan golongan ini dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih terjamin.

“Malah saya percaya dan yakin sekiranya kita dapat meluangkan sedikit masa, tenaga, sokongan secara mental dan spiritual kepada golongan ini.

"Ia juga mampu menjana perubahan dan membawa seribu makna kepada mereka yang memerlukan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Kesenian dan Kebudayaan Pendidikan Khas Peringkat Negeri Johor 2015, di Plaza Kota Tinggi, dekat sini.
 
Beliau berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan segala program yang bertujuan melahirkan modal insan berkualiti seiring aspirasi agar menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

Katanya, pelajar pendidikan khas merupakan antara modal insan penting kepada negara di mana mereka juga memerlukan rangsangan berkesan untuk memupuk jati diri yang berdaya tahan.

“Program penting yang perlu diamalkan adalah aktiviti kesenian dan kebudayaan.

"Aktiviti berasaskan elemen kesenian dan kebudayaan merupakan satu bentuk terapi berkesan dalam memupuk nilai positif, kekuatan fizikal atau emosi, disiplin, semangat berpasukan dan semangat juang tinggi," katanya. 

Katanya, pelajar pendidikan khas perlu sentiasa diberi pendedahan dan bimbingan sewajarnya agar mereka faham dan sedar tentang pentingnya mempertingkatkan potensi diri dan sentiasa berusaha berubah menjadi yang terbaik.

“Program karnival kesenian dan kebudayaan ini merupakan usaha tepat untuk memastikan penglibatan anak-anak pendidikan khas dalam aktiviti kokurikulum. Ini kerana aktiviti kokurikulum merupakan satu landasan ke arah kecemerlangan aspek kurikulum,” katanya.

Beliau turut menyeru guru dan semua yang berkenaan agar memberikan perkhidmatan terbaik kepada anak-anak pendidikan khas melalui kasih sayang, pendidikan dan perhatian sewajarnya.

Jelasnya, dengan cara demikian, anak-anak pendidikan khas akan mempunyai keyakinan diri serta keperibadian hebat dengan memiliki ciri seperti daya saing kuat, kreatif, inovatif dan berkarisma.

Pada majlis sama, Asiah turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial