Pastikan Prinsip, Etika Kewartawanan Terus Diamalkan – MB

Mohamed Khaled (tengah) bergambar bersama-sama pengamal media cetak dan elektronik negeri Johor.

JOHOR BAHRU, 8 Mac – Semua pengamal media di Johor, malah di serata tanah air disaran untuk memastikan prinsip serta etika kewartawanan terus diamalkan.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, ia penting bagi memberi pencerahan kepada masyarakat umum tentang tugas pengamal media yang sebenar.

“Masyarakat umum perlu mengetahui bahawa pengamal media itu adalah mereka yang melapor tanpa rasa takut dan pilih kasih, juga tidak menuding jari tanpa memperolehi gambaran sebenar tentang sesuatu perkara.

“Malah, selain berperanan sebagai penyampai dan penyebar maklumat tepat tentang dasar dan usaha kerajaan, media turut memikul tanggungjawab dan amanah penting di dalam menyuburkan rasa tenteram dan muafakat di kalangan masyarakat.

“Justeru, adalah penting untuk media agar sentiasa memegang prinsip sebenar dan mengekalkan etika kewartawanan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor 2017/2018, di Hotel Puteri Pacific, di sini malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim; Pegawai Daerah Johor Bahru, Muhamad Fuad Radzuan dan Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak.

Beliau juga berkata, dalam era ledakan media baharu, kita semua dituntut untuk sentiasa meneliti bahan ataupun sumber berita yang diterima.

“Ini kerana, banyak saluran berita tidak rasmi yang bebas menyebar maklumat melalui pelbagai aplikasi dan penyebaran berita tersebut bersifat memfitnah.

“Lebih memburukkan lagi apabila terdapat berita yang berniat buruk dan melanggar etika pemberitaan serta melontarkan persepsi negatif atau menghukum tanpa kebenaran perundangan,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai sikap segelintir pengamal media sosial picisan yang tidak mengekalkan etika kewartawanan yang baik.

“Sebagai contoh, dalam kes-kes melibatkan siasatan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sepatutnya mereka peka tentang etika kewartawanan sebenar.

“Seperti tidak mendedahkan secara langsung atau tidak Orang Yang Disyaki (OYDS), tidak menunjukkan gambar secara terang-terangan dan wajah dikaburkan (blurred).

“Dan inilah karektor dan etika yang perlu terus dipegang pengamal media perdana, yang dipandu arah dengan kredibiliti dan pengetahuan khas kewartawanan sebenar,” katanya.

Tambahnya, petugas media juga berperanan penting untuk menjadi gatekeeper dan penyunting, juga sentiasa akrab dengan kepetahan sebagai seorang pengamal media yang beretika dan berwibawa.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial