Patuhi Tuntutan Alam Sekitar

alam sekitar

 

GELANG PATAH, 16 Ogos – Pembangunan perbandaran moden, Forest City iaitu pembinaan empat pulau buatan dengan nilai pelaburan kira-kira RM176.93 bilion di atas kawasan seluas kira-kira 1,386 hektar, projek pertama seumpamanya di Asia Tenggara dibangunkan dalam kawasan Iskandar Malaysia, Johor.

Projek dibangunkan secara bersama antara Country Garden Holdings Co Ltd berpangkalan di Guangdong, China dan Syarikat Johor, Esplanade Danga 88 Sdn Bhd ini akan dibangunkan berperingkat melibatkan sembilan fasa, dijangka mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan.

Bagaimanapun, kestabilan ekologi projek itu yang berdekatan dengan Link Kedua, menghubungkan Johor- Singapura menjadi tanda tanya ekoran kedudukannya yang hampir dengan habitat rumput laut sebagai agen penstabilan pantai dan dasar laut.

Komited pelihara ekologi

Pengarah Eksekutif Country Garden Pacific View (CGPV), Datuk Md Othman Yusof berkata, menyedari akan kepentingan sumber alam itu, projek CGPV ini dilaksanakan dengan penuh pematuhan dan tuntutan kepada peraturan alam sekitar.

Katanya, adalah menjadi komitmen pihaknya untuk meminimumkan impak alam sekitar.

“Rumput laut adalah ekosistem berharga dan mempunyai banyak nilai positif untuk persekitaran pantai, menjadi habitat bernilai penstabilan pantai dan dasar laut.

“Ia turut menyumbang kepada ekosistem pantai yang sihat dengan kepelbagaian komuniti yang tinggi. Sebagai pemaju bertanggungjawab, adalah wajar bagi CGPV untuk menyokong dan melibatkan diri secara langsung mahupun tidak langsung dalam merealisasikan usaha ini, selain membantu komuniti tempatan untuk turut memajukan diri,” katanya.

Komitmen ini diterjemahkan dengan tindakan CGPV menanam semula tumbuhan di dalam kawasan pembangunan pulau yang dibina.

Jalinan kerjasama pencinta alam

Md Othman berkata, CGPV sentiasa bekerjasama dan menyokong usaha-usaha memelihara kestabilan ekologi dengan mengadakan jalinan usaha sama dengan Kelab Alami, sebuah kumpulan pencinta alam sekitar.

“Kelab ini diterajui Dr Serina Rahman yang mengajar belia tempatan bukan sahaja mengenai alam semula jadi di kawasan mereka, tetapi juga bagaimana untuk menjalankan penyiasatan dan pemantauan terhadap spesies flora dan fauna, terutamanya rumput laut.

“Kekuatan kelab ini ialah kebolehan mendidik belia tempatan menjadi pakar habitat, pemerhati habitat secara saintifik dan jurupandu ekopelancongan di mana melalui program ekopelancongan, orang awam dididik untuk memelihara serta memulihara alam sekitar,” katanya.

Antara lain, objektif kelab ini juga untuk menyokong pembangunan keupayaan pekerjaan penduduk tempatan melalui latihan dan program graduan Kelab Alami, dengan mendedahkan program dan latihan seperti kursus bahasa, peluang keusahawanan, pembangunan kemahiran serta kursus asas dalam mendapatkan lesen bot penumpang.

Terkini, CGPV dengan kerjasama Kelab Alami menganjurkan lawatan ke beting Tanjung Kupang yang menjadi habitat semula jadi pelbagai spesies flora dan fauna, antaranya ialah rumput dan kuda laut.

CGPV turut melakukan kerjasama bersama UPM dalam penyelidikan rumput laut, di mana penyelidikan itu akan membantu proses pemuliharaan rumput laut di sekitar kawasan pembangunan Forest City.

Eko-pelancongan tarikan ke Johor

Menurutnya, sektor pelancongan terutamanya dari segi ekopelancongan berpotensi besar serta mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengunjungi negeri ini.

Katanya, dengan memberi penekanan dalam penjagaan ekosistem dan penjanaan faedah dalam bentuk ekonomi kepada penduduk tempatan, kerajaan negeri turut menjadi faktor penggalak bagi perkembangan sektor itu di negeri ini.

“Eko-pelancongan satu bidang punyai potensi perkembangan paling besar dalam industri pelancongan dunia disokong aktiviti untuk menikmati dan menghayati keindahan alam semula jadi, menggalakkan pemuliharaan alam sekitar, membawa kesan minimum kepada alam sekitar serta bolehkan penglibatan masyarakat tempatan di dalam aktiviti sosioekonomi.

“Isu alam sekitar semakin mencabar dan usaha menanganinya memerlukan kerjasama serta komitmen tinggi semua pihak, kerana ketidakstabilan ekosistem berpunca daripada aktiviti manusia antara cabaran perlu dihadapi dan ditangani,” katanya. – Sinar Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial