PBT Kenal Pasti Lokasi Kerap Banjir, Elak Tidak Berulang

IMG_4577
Mohamed Khaled ketika menziarahi mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kota Kecil, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI, 25 Jan – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor akan mengenal pasti lokasi yang kerap dilanda banjir di kawasan pentadbiran masing-masing.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata mereka telah diarahkan untuk melaksanakan perkara itu bagi membolehkan tindakan susulan diambil supaya banjir di kawasan sama tidak berulang.

“Kita percaya setiap PBT di daerah mempunyai rekod mengenai kawasan yang sering dilanda banjir ketika musim hujan.

“Oleh itu, mereka akan mengenal pasti punca banjir supaya tindakan susulan dapat diambil bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Serbaguna Kota Kecil di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr Badrul Hisham Kassim.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Johor mencecah 8,009 orang, melibatkan 2,220 keluarga sehingga pukul 6.00 petang tadi.

Manakala sebanyak 71 pusat pemindahan dibuka di seluruh negeri.

Mohamed Khaled berkata Kerajaan Negeri melahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir yang terjejas dan berharap sumbangan serta bantuan daripada pelbagai pihak dapat diteruskan.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji jumlah kerugian yang dialami mangsa, kerosakan kemudahan awam dan kos yang perlu diatasi.

Beliau turut berpuas hati dengan pengurusan jawatankuasa banjir peringkat daerah dan sukarelawan yang bertindak pantas memindahkan mangsa ke pusat pemindahan.

“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak terutamanya jawatankuasa banjir di seluruh daerah. Kita dapat melihat dari segi segala keperluan untuk mangsa-mangsa banjir dapat disediakan dengan baik.

“Penghargaan turut diberikan kepada semua pegawai dan sukarelawaan yang keluar beramai-ramai untuk membantu. Terima kasih juga kepada mangsa yang terjejas atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa kesal terhadap sikap pengguna media sosial yang menyebarkan maklumat palsu berkaitan keadaan banjir di Johor.

“Saya melihat ada yang memuat naik gambar banjir yang berlaku beberapa tahun lalu, ada juga gambar yang berlaku di luar Johor tetapi dikaitkan dengan negeri ini.

“Saya menerima banyak aduan mengenai perkara ini dan berharap orang ramai tidak mudah mempercayainya,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial