PBT Pengerang akan diwujudkan: MB

KOTA ISKANDAR: Kerajaan Negeri akan mewujudkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pengerang bagi mengurus pembangunan pesat yang akan berlaku di kawasan itu.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, perkara itu sudah mendapat kelulusan Kerajaan Persektuan dan Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan lanjut bagi melaksanakan perkara itu.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk memaklumkan hasrat Kerajaan Negeri bagi mewujudkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pengerang bagi mengurus pembangunan yang pesat, yang akan berlaku di sana, khususnya sebagai hub minyak dan gas.

“Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan lanjut bagi melaksanakan perkara ini yang dilihat selari dengan keperluan memastikan pembangunan pesat di Pengerang berjalan dengan teratur, lestari dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pengulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-13, di sini.

Selain itu mengenai isu projek Perumahan Taman Bayu Damai Pengerang, beliau berkata, Kerajaan Negeri memandang serius perkara itu.

Katanya, Kerajaan Negeri komited dalam memastikan semua rumah dibaiki oleh pihak pemaju, mengikut kontrak reka dan bina.

“Bagi penduduk yang terkesan, satu proses rundingan sedang dijalankan bagi, sama ada, menggantikan rumah yang rosak dengan unit-unit rumah sementara yang sudah dilengkapi dengan kemudahan asas atau memindahkan mereka ke kawasan penempatan sementara yang lain menggunakan pengangkutan yang disediakan oleh pihak pemaju.

 “Malah, mereka diberikan bayaran ex gratia sebanyak RM1,000 oleh pihak pemaju

“Setiap peringkat kerosakan akan memerlukan masa penyelesaian yang berbeza mengikut tahap-tahap kerosakan. Walaubagaimanapun, dijangkakan proses pembaikan akan dapat disiapkan dalam suku terakhir tahun ini,” katanya.

Mohamed Khaled turut memaklumkan kepada dewan mengenai prestasi ekonomi Johor.

Ujarnya, Johor terus menjadi destinasi pelaburan pilihan pelabur asing dan domestik.

“Pada tahun 2014, Johor berada pada kedudukan pertama di Malaysia dengan jumlah pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan sebanyak RM21.17 bilion.

“Dan lebih penting, kita mempunyai simpanan yang besar dan menjadikan kita berada dalam kedudukan yang selesa. Pada akhir tahun 2014, kita mempunyai rizab negeri sebanyak RM2.30 billion,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial