Usaha Posisikan Pengerang Sebagai Katalis Pembangunan Johor Timur 

IMG_4284

KOTA TINGGI, 16 Jan. – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini melancarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang sebagai salah satu usaha bersepadu dalam memposisikan Pengerang sebagai katalis pembangunan koridor Johor Timur.

Menurutnya, Pengerang mesti menjadi permulaan untuk membangunkan timur Johor sebagai daerah ekonomi yang penting dan berkepentingan global bersandarkan kepada dua sebab.

“Pertama, usaha itu mampu mewujudkan keseimbangan pembangunan di Johor sekaligus mengelakkan berlakunya pemusatan pembangunan yang tidak sekata kerana Timur Johor adalah wilayah paling hampir dengan Asia Timur, kawasan pembangunan ekonomi paling pesat di dunia seperti China, Vietnam, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun.

“Untuk itu, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) adalah permulaannya untuk melonjakkan potensi ekonomi Timur Johor dan secara tidak langsung dapat meyakinkan rakyat bahawa pembangunan di Johor adalah melibatkan semua kawasan dan penjuru di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pengerang, Dato’ Sri Azalina Othman Said; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim dan Yang DiPertua PBT Pengerang, Bukhari Abd Rahman.

Menurut beliau, sebab kedua adalah kerana usaha itu mempunyai permulaan yang baik kerana adalah tidak wajar membiarkan pelaburan besar oleh Kerajaan Pusat di Pengerang terhenti setakat pembangunan PIPC sahaja.

“Timur Johor mempunyai potensi yang amat besar yang boleh terus diterokai seperti hab perikanan Malaysia, kawasan perindustrian berskala global untuk industri hiliran kelapa sawit atau pusat membaik pulih industri perkapalan serantau sebagai alternatif kepada Singapura.

“Semua itu boleh dijayakan dan dijadikan penyumbang ekonomi yang besar kepada Johor dan Malaysia dan salah satu cara terbaik untuk kita berterima kasih kepada peluang dan perhatian yang diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada Negeri Johor untuk manfaat Johor dan rakyat,” katanya.

Menurutnya lagi, Pengerang juga berpotensi untuk dibangunkan sebagai satu jenama global untuk Johor.

“Johor sudah mempunyai  pelbagai kemudahan dan prasarana bertaraf global khususnya dalam aspek logistik dan perkhidmatan pelabuhan yang lengkap dan terbaik di dunia, maka kelebihan itu harus digunakan untuk melonjakkan Pengerang sebagai jenama global untuk Johor.

“Malah, Pengerang lebih awal dikenali sebagai pusat perdagangan dan pelayaran sejak berabad-abad dahulu, maka fungsi dan nama besar Pengerang perlu dikembalikan dalam konteks yang lebih moden dan besar pada masa sekarang,” katanya.

Pengerang adalah PBT ke-16 di Johor merangkumi kawasan pentadbiran yang berkeluasan 128,830 hektar.

Mulai 1 Januari lalu, jentera PBT Pengerang sudah digerakkan secara rasmi dengan pasukan seramai 110 pegawai profesional dan kumpulan sokongan yang mahir.

PBT Pengerang diserahkan kepada Johor Corporation untuk ditadbir urus berdasarkan pengalamannya selama 32 tahun menerajui dan menjaga kawasan Pasir Gudang, serta rekod kecekapannya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial