PBT Pengerang Sejarah Baru Tercipta – Azalina

IMG_4286
Azalina Othman

PENGERANG, 16 Jan – Ahli Parlimen Pengerang, Dato’ Sri Azalina Othman Said hari ini meletakkan harapan tinggi dengan kewujudan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang dan menyifatkan ia satu sejarah yang begitu bermakna buat seluruh warga Pengerang.

Menurutnya, beliau percaya dengan adanya PBT Pengerang, pembangunan masyarakat di situ akan lebih tersusun dan sejahtera.

“Pembangunan yang begitu pesat di Pengerang memerlukan satu badan khusus untuk mentadbir urus Parlimen ini, lebih-lebih lagi apabila Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang diumumkan Perdana Menteri menjadi tumpuan ramai pelabur asing dan membuka mata ramai pihak untuk mengintai ruang dan peluang di situ,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Justeru, beliau berharap kewujudan PBT Pengerang yang telah diamanahkan kepada Johor Corporation akan menyaksikan pembangunan di kawasan itu yang berkeluasan 128,830 hektar menjadi lebih teratur dan lestari, selain memberi lebih banyak limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan.

“Malah, harapan daripada Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dalam usaha melonjakkan Pengerang sebagai penyumbang ekonomi global di bawah pembangunan Timur Johor akan menjadi satu amanah besar kepada PBT Pengerang dan rakyat di sini untuk terus menyokong Kerajaan Barisan Nasional,” tambahnya.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut hadir pada Majlis Pelancaran PBT Pengerang di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, Kota Tinggi yang disempurnakan Menteri Besar Johor, hari ini.

Pengerang sebelum ini ditadbir urus oleh Lembaga Bandaran Johor Tenggara dan Majlis Daerah Kota Tinggi.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial