Pegawai Tadbir Negeri Johor Dituntut Terus Jayakan Agenda Kerajaan Negeri

image

 

KOTA ISKANDAR, 14 Jun – Pegawai Tadbir Negeri Johor atau Johor Civil Servant (JCS) dituntut supaya terus memberi komitmen bagi menjayakan pelbagai agenda Kerajaan Negeri demi kepentingan dan kesejahteraan negeri Johor.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata adalah penting untuk mereka bersama-sama membantu menjayakan agenda itu dalam konteks perkhidmatan awam dan pengurusan negeri kerana terdapat dua perkara penting.

“Pertama, bantuan dan sokongan mereka akan memastikan bahawa Johor akan mampu pergi jauh dan mencapai kecemerlangan yang besar dan hebat.

“Manakala kedua, mereka mesti menjadi kelompok perkhidmatan yang dipandu oleh kepimpinan prestasi,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Johor (PTNJ) tahun 2016, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Penaung Persatuan PTNJ, Dato’ Ismail Karim dan Presiden PTNJ, Mohd Noorazam Osman.

Menurut Mohamed Khaled, antara agenda itu termasuklah untuk menjayakam Gagasan Johor Berkemajuan dan Kajian Rancangan Struktur Negeri Johor 2030.

“Selain itu, kerajaan negeri juga sedang berusaha memantapkan keperluan asas khususnya dalam pencarian dan pengurusan sumber air yang lebih mampan bagi memastikan masalah air dapat diselesaikan.

“Manakala agenda lain juga termasuklah mengenai Kajian Rejuvenasi Desa Johor yang berupaya untuk menyediakan pelbagai tarikan dan potensi desa-desa di Johor,” katanya.

Tambah beliau, PTNJ dengan jumlah anggota seramai 240 orang adalah antara perkhidmatan pentadbiran tertua di negara ini yang penting sepanjang sejarah Johor moden.

“Ia bukan sahaja berbakti pada negeri dan bangsa, tetapi juga telah melahirkan ramai tokoh awam terkemuka seperti Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak, Dato’ Onn Jaafar dan Profesor Diraja Ungku Aziz.

“Malah, kewibawaan tokoh-tokoh itu memberi panduan untuk berkhidmat dengan tekun dan cemerlang yang menjadi pegangan dan kebanggaan setiap anggota JCS,” katanya.

Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan PTNJ tahun 2016 kali ini menyaksikan perlantikan presiden baru bagi penggal 2016 hingga 2018.

Kerajaan Negeri dalam mesyuarat tersebut juga bersetuju meluluskan beberapa inisiatif antaranya mengekalkan keputusan pengurniaan 12 buah kedai siap dibina dan dua tapak komersil di Horizon Hill supaya kedudukan kewangan persatuan terus kukuh.

Selain itu, Rumah Persatuan akan dikekalkan untuk melaksanakan aktiviti serta ditambah dengan Rumah Kelab di Sri Gelam dan meneruskan dasar pengurniaan Tanah Pertanian dan 1 Lot Tanah Tapak Kediaman kepada anggota JCS, tertakluk kepada kekosongan keluasan tanah di Johor.

“Kerajaan Negeri juga menzahirkan ucapan menjunjung kasih di atas pengurniaan RM1 juta daripada DYMM Sultan Johor melalui Yayasan Sultan Ibrahim untuk pelaksanaan program,” kata Mohamed Khaled lagi.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial