Pelaburan Industri Johor

tee siew kiong

JAWATANKUASA Pelaburan Johor (JIC) yang ditubuhkan bagi memberi tumpuan pada pelaburan baharu dan pemantauan pelaburan, akan memudahkan urusan kerajaan negeri menyelaras kemasukan pelaburan selain memastikan tidak timbul kekeliruan terutamanya di kalangan pelabur.

Jawatankuasa itu juga bagi membolehkan kerajaan negeri menjalankan promosi pelaburan melibatkan kluster yang berpotensi dalam meningkatkan ekonomi rakyat selain  pengumpulan data, mengenal pasti potensi dan kelemahan serta bertindak sebagai pemudah cara dalam merealisasikan pelaburan bakal dibawa ke Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan, Datuk Tee Siew Kiong berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan Menteri Besar Johor, manakala beliau selaku timbalan.

Katanya, jawatankuasa itu juga akan menyelaras kemasukan pelaburan bersaiz besar berlandaskan sektor terpilih, berteknologi tinggi dan berdaya saing untuk mewujudkan pembangunan industri negeri yang seimbang.

“JIC akan diberi tugas sebagai agensi pemantauan oleh kerajaan negeri dalam memastikan semua masalah industri diberi perhatian dan diambil tindakan segera oleh semua pihak bertanggungjawab dan menyelaras tindakan penambahbaikan dalam hal ehwal pelaburan dan perindustrian antara agensi kerajaan negeri,” katanya.

Datuk Tee berkata, jawatankuasa itu membolehkan kerajaan negeri serta jabatan dan agensinya termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan serta badan bukan kerajaan (NGO) dapat mencapai kesepakatan dan keputusan bersama dalam hal berkaitan pelaburan.

Seketeriat JIC dianggotai pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan selain syarikat berkepentingan Kerajaan Negeri, syarikat pembekalan tenaga seperti Tenaga Nasional Berhad.

Beliau berkata, prestasi pelaburan di Johor mesti dipertahan dan dipertingkatkan sekaligus JIC adalah badan yang akan menyumbang ke arah matlamat itu.

Julung-julung kalinya Johor sehingga Disember 2013 mencatatkan penerimaan pelaburan industri tertinggi di negara ini berjumlah RM14.4 bilion membabitkan 197 projek yang diluluskan.

Daripada jumlah itu, RM11.5 bilion adalah pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM2.9 bilion disumbang oleh pelaburan tempatan.

Angka ini merupakan peningkatan sebanyak 161 peratus berbanding RM5.5 bilion yang dicatatkan pada  2012.

Jumlah itu jauh meninggalkan jumlah pelaburan di negeri yang mendapat jumlah pelaburan kedua tertinggi iaitu Selangor (RM9.8 bilion), diikuti Sarawak (RM8.27 bilion) dan Pulau Pinang (RM3.9 bilion).

Melalui penunjuk ekonomi yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) ini jelas memaparkan bahawa pelabur domestik dan luar mempunyai keyakinan tinggi terhadap keutuhan ekonomi negeri malah menaruh harapan besar untuk melihat penjanaan kekuatan ekonomi yang berterusan dan dipertingkatkan lagi.

Datuk Tee berkata, empat faktor utama mendorong kerancakan pelaburan di Johor adalah:

– Infrastruktur lengkap.

– Mesra pelabur.

– Modal insan bermahiran.

– Memiliki bahan mentah diperlukan.

Beliau berkata, selain infrastruktur asas yang lengkap, Johor juga memiliki beberapa pelabuhan yang penting sekali gus menjadi pemangkin kepada kalangan pelabur industri ini.

“Kita mengetahui mereka sememangnya amat memerlukan kemudahan seperti itu dalam operasi syarikat masing-masing dan di Johor, kemudahan itu tersedia untuk mereka,”  katanya.

Selain itu, beliau berkata, Johor memiliki hab pendidikan yang mampu melahirkan modal insan berkualiti sekali gus dapat membekalkan  tenaga mahir berkualiti yang diperlukan pelabur.

“Johor juga mampu menyediakan bahan mentah untuk keperluan industri mereka. Contohnya, koko untuk pengeluaran produk berasaskan bahan itu,” katanya.

Ditanya mengenai jangkaan pencapaian Johor dalam pelaburan industri untuk 2014, Datuk Tee berkata, angkanya dijangka meningkat berdasarkan pelbagai usaha yang dilakukan  kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

“Kerajaan Negeri akan melipatgandakan usaha menarik lebih banyak pelaburan industri ke Johor,” katanya.

pelaburanindustri

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial