Pelaburan Industri Robotik Dalam Proses Rundingan Akhir

Pasir Gudang, 29 April – Kerajaan Johor sedang dalam proses rundingan akhir untuk memuktamadkan pelaburan industri robotik bernilai RM15 bilion di negeri ini, dengan sebuah syarikat gergasi dari China.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata pelaburan itu akan membabitkan dua tempat iaitu di Iskandar Malaysia dan Sedenak.

Katanya, ia antara perkara yang sedang dirundingkan di mana syarikat terbabit mahu membahagikan dua kawasan industri robotik iaitu kilang di Sedenak, manakala pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemasaran dan penjualan di Iskandar Malaysia.

“Ia dijangka dapat memberi peluang lebih 1,000 pekerjaan bukan hanya di kilang, tetapi di R&D. Malah, ia dekat dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), jadi ini adalah baik.

“Kalau jadi, tahun ini (pelaburan). Kita sedang berunding, tetapi kita belum boleh dikatakan 100 peratus bersetuju,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-32 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 1 di sini, hari ini.

Kerajaan Johor, baru-baru ini, melalui anak syarikatnya, Johor Corporation (JCorp) memeterai memorandum persefahaman (Mou) dengan Beijing Huize Boyuan Robot Investment Company Limited China (Boyuan), bagi membangunkan projek berkenaan dengan pelaburan dianggarkan bernilai RM15 bilion.

Menerusi perjanjian itu, Johor bakal memiliki Bandar Robotik pertama di Malaysia dan rantau ASEAN.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial