Pelaburan Johor kukuh & meyakinkan

Terima pelaburan tertinggi negara melebihi RM10 bilion

Prestasi dan Cabaran Ekonomi

Pertumbuhan ekonomi Negeri Johor berada di kedudukan kukuh dan meyakinkan. Nilai pelaburannya sehingga September 2013 mencatatkan penerimaan pelaburan industri tertinggi di Malaysia iaitu melebihi RM10 bilion sekaligus jauh mengatasi Sarawak dan Selangor.

Melalui pelaburan tersebut, dianggarkan lebih daripada 12,000 peluang pekerjaan baru yang berkualiti dapat diwujudkan dan jumlahnya dijangka terus bertambah sepanjang 2014.

Bersandarkan perkembangan positif ini, ekonomi negeri diunjurkan berkembang pada kadar 6.3 peratus sehingga September 2013 dan ini mencerminkan kekukuhan asas ekonomi negeri di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Mohamed Khaled Nordin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan & Perancangan Negeri, berkata kerajaan akan terus mempergiatkan usaha untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negeri terus berkembang sepertimana lazimnya, meskipun berhadapan persekitaran global yang tidak menentu.

Asas ekonomi yang kukuh yang berorientasikan hasil, ternyata membolehkan ekonomi negeri berada di atas landasan yang teguh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan memberangsangkan iaitu 6.5 peratus pada 2012.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2014 pula dijangka lebih baik berbanding 2013 iaitu sekitar 5.5 peratus. Ramalan ini disokong oleh peningkatan permintaan domestik yang berterusan dan prestasi eksport yang semakin pulih. Pengekalan kadar faedah 3 peratus oleh Bank Negara dijangka turut menyokong pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan swasta.

Pertumbuhan ini didorong sektor pembuatan yang telah berkembang sebanyak 6.1 peratus pada 2012. Sektor perkhidmatan pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus, hasil keaktifan subsektor perkhidmatan bagi utiliti, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.

Mengukuhkan Strategi dan Prestasi Pelaburan

Johor adalah sebuah negeri yang pertumbuhan ekonominya dipacu hebat oleh pelaburan domestik dan luar. Oleh itu, pentadbiran negeri akan sentiasa memperbaiki iklim pelaburan melalui pengenalan strategi-strategi baru yang lebih progresif.

Sehingga September 2013, jumlah keseluruhan pelaburan bagi sektor pembuatan telah mencecah RM10.59 bilion.

“Suka saya memaklumkan bahawa sektor pembuatan dijangka terus berdaya maju dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Pelaburan langsung asing masih kekal sebagai penyumbang utama berjumlah RM6.6 bilion atau 75 peratus daripada jumlah keseluruhan. Pelaburan domestik pula telah mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM2.2 bilion atau 25 peratus,” katanya.

Johor juga mengambil pendekatan yang selektif dalam usaha menarik kedatangan pelabur berkualiti. Langkah itu perlu bagi memastikan kualiti pelaburan tersebut mampu  mempertingkatkan kebolehsaingan Johor dalam tempoh jangka panjang. Ini menyaksikan pelaburan dalam kategori industri elektronik dan petroleum sebagai penyumbang utama.

Sehingga Ogos 2013, industri elektronik telah menyumbang RM3.5 bilion atau 40 peratus daripada jumlah pelaburan keseluruhan. Ini disusuli industri berasas petroleum dan petrokimia dengan nilai pelaburan RM2.5 bilion (28 peratus). 

Pelaburan selebihnya disumbangkan industri pembuatan makanan dan barangan logam asas masing-masing dengan nilai RM1.4 bilion (15 peratus) dan RM290 juta (3 peratus).

Pencapaian pelaburan luar dan domestik yang memberangsangkan ini,turut disumbang  peranan progresif oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Iskandar Malaysia adalah kawasan pertumbuhan yang komprehensif, terancang dan berdaya saing. Ini dibuktikan melalui jumlah komitmen pelaburan terkumpul sebanyak RM129 bilion bagi tempoh 2006 hingga Oktober 2013. Daripada jumlah tersebut, 44 peratus atau RM56.3 bilion telah direalisasikan.

Pelaburan ini sesungguhnya telah menyumbang secara transformatif kepada kemajuan ekonomi Negeri Johor. Sehingga suku ketiga 2013, Iskandar Malaysia telah berjaya menarik pelaburan untuk semua sector berjumlah RM9.28 bilion.

Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap kemudahan infrastruktur melibatkan jaringan perhubungan dan pengangkutan yang baik serta sumber manusia yang terlatih.

Iskandar Malaysia juga terletak di lokasi yang amat strategik, dikelilingi pelbagai institusi pengajian tinggi yang diharap boleh membantu dari segi penyelidikan dalam bidang yang berkaitan. Semua ini akan dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Negeri Johor.

Johor bukan sahaja menawarkan pakej-pakej rangsangan pelaburan yang menarik malah lebih daripada itu telah mengenal pasti sumber kekuatan baik dari segi kedudukan yang strategik di laluan perdagangan, kepelbagaian sumber ekonomi, tenaga manusia terlatih, prasarana lengkap dan keseimbangan pembangunan dalam Wilayah Iskandar.

Semua angka-angka ini membuktikan bahawa Johor mempunyai iklim dan prasarana pelaburan yang meyakinkan serta berdaya saing.

“Saya dan pentadbiran Kerajaan Negeri akan terus gigih berusaha untuk memastikan jumlah dan kualiti pelaburan dipertingkatkan secara lestari.

“Harapan Kerajaan Negeri ialah untuk menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan paling berjaya di Malaysia dan ia hanya akan dapat dilaksanakan dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan, jabatan dan agensi kerajaan, pelabur-pelabur, serta golongan pekerja berbakat dan  berkemahiran tinggi,” menurutnya mengakhiri wawancara.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial