Pelaburan RM2 Bilion Dari Jepun Ke Johor

Mohamed Khaled bergambar bersama-sama para pelabur dari Jepun, selepas mengadakan pertemuan di Tokyo, semalam. (Foto: Instagram @khalednordin)

TOKYO, 25 Julai – Johor terus menjadi tumpuan utama pelabur asing untuk membuat pelaburan di negeri selatan tanah air itu.

Kali ini, delegasi kerajaan Johor yang diketuai Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin ke negeri matahari terbit itu bagi memuktamadkan pelaburan dengan jumlah keseluruhan dijangka bernilai hampir RM2 bilion.

Johor Corporation sebagai konglomerat kerajaan negeri meneruskan peranannya menjadi penyumbang dalam menarik pelaburan ke Johor dengan menjadi konglomerat penting dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri.

Pelaburan yang dijangka membabitkan empat syarikat gergasi dari Jepun itu akan melibatkan Taman Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang.

Mohamed Khaled berkata dengan kredibiliti yang ada pada Johor Corporation, beliau yakin pelaburan ini akan mampu dimuktamadkan.

“Menerusi pelaburan ini, ia semestinya dapat memberi manfaat limpahan ekonomi kepada rakyat Johor khususnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta peluang perniagaan yang berkaitan.

“Keyakinan syarikat-syarikat terkemuka dari negara luar seperti ini yang terus menyatakan hasrat melabur di Johor membuktikan bahawa mereka mempunyai kepercayaan dengan potensi yang ada di negeri Johor,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Johor Corporation.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pelabur-pelabur berpotensi dan sedia ada dari negara Jepun di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Dato’ Azman Mahmud dan Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim,

Sementara itu, Kamaruzzaman berkata, pelaburan ini akan melibatkan sektor kejuruteraan plastik, pengkhususan kimia dan berasaskan polimer yang strategik untuk pembangunan di Johor.

“Dengan pelaburan ini, jelas menggambarkan usaha Johor Corporation selama ini dipandang tinggi oleh pelabur-pelabur besar dari negara luar sehingga kita terus diberi kepercayaan oleh mereka.

“Sebagai konglomerat kerajaan negeri, Johor Corporation akan terus komited dalam usaha menarik pelaburan luar ke negeri ini selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebagai kuasa baharu ekonomi negara,” ujarnya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial