PELAJAR KOLEJ VOKASIONAL KOTA TINGGI TABUR BAKTI

JOHOR BAHRU – Seramai 28 pelajar Kolej Vokasional Kota Tinggi teruja dapat beramah-mesra dengan penghuni Rumah Seri Kenangan di Kampung Ungku Mohsin, di sini dalam Program Khidmat Masyarakat yang mereka kendalikan, semalam.

Pengarah Projek, Pelajar Tahun Tiga Diploma Automotif, Mohd Akmal Harith Md Razi, 18 berkata, program itu memberi pendedahan mengenai kehidupan warga emas di pusat penjagaan berkenaan sekali gus mendidik mereka agar bersikap lebih prihatin.

Katanya, aktiviti itu dijalankan sempena sambutan Hari Malaysia dan merupakan salah satu latihan praktikal yang wajib dijalankan pelajar tahun tiga bagi memenuhi modul pembelajaran mereka.

“Program ini turut disertai dua guru pengiring dan mula dirancang sejak bulan lalu sebagai latihan praktikal untuk pelajar tahun tiga.

“Dalam program ini kami dapat beramah mesra dengan penghuni sekali gus memahami situasi yang dihadapi mereka dan memberi pendedahan kepada kami bagaimana berkomunikasi dengan baik dalam masyarakat.

“Ia secara tidak langsung mendidik kami agar sentiasa menghormati orang tua dan menghargai ibu bapa masing-masing,” katanya.

Mohd Akmal berkata, sepanjang program itu pelbagai aktiviti dijalankan bersama penghuni warga emas termasuk gotong-royong membersihkan dan mengecat pusat penjagaan berkenaan.

“Sebahagian pelajar bergotong-royong membersihkan persekitaran pusat penjagaan dan sebahagian lagi membantu mengecat semula kawasan yang rehat di sini bagi menceriakan semula kawasan ini.

“Selain itu kami turut menyampaikan sumbangan termasuk 125 liter cat, barangan keperluan dapur serta pakaian terpakai yang dikumpul dari pihak sekolah dan orang luar,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Akmal turut berharap dapat menganjurkan lebih banyak program seumpama itu pada masa akan datang sebagai pendedahan berterusan untuknya dan rakan-rakan.

“Aktiviti seperti ini memberi kepuasan kepada kami kerana dapat berbakti kepada masyarakat dan berharap dapat menjalankan lagi program seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial