Pelajar SPM Kurang Berjaya Digalak Ceburi Kemahiran

PENGERANG 18 Mac – Pelajar yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, bidang kemahiran turut menjanjikan pulangan yang lumayan dan tenaga kerja mahir tersebut semenangnya diperlukan di negara ini.

“Bagi pelajar yang tidak berjaya (dalam SPM), mereka masih ada lagi peluang iaitu bidang kemahiran.

“Bidang kemahiran bukanlah peluang kedua, maknanya…kalau tak berjaya baru pilih kemahiran, sebaliknya ia adalah satu alternatif lebih-lebih lagi amat diperlukan di setiap negara yang membangun dan maju,” katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai sempena lawatan seharinya ke Parlimen Pengerang di sini, Khamis.

Yang turut hadir Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Syed Sis Syed A. Rahman; ADUN Penawar, Hamimah Mansor dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr. Badrul Hisham Kassim.

Mohamed Khaled berkata, kebanyakan negara membangun dan maju di dunia hanya memerlukan 30 hingga 40 peratus yang ada kelayakan akademik manakala selebihnya memerlukan mereka yang mempunyai kemahiran.

“Kita perlukan kedua-duanya (akademik dan kemahiran). Kalau banyak jurutera buat robot rosak tetapi tidak ada tenaga mahir nak betulkan jadi tak boleh juga sebab itu kita perlu tenaga mahir.

“Akademik cipta peralatan tetapi untuk penjagaan dan penyelenggaraan kita memerlukan tenaga kerja mahir. Jadi sesebuah negara perlu kombinasi kedua-duanya,” katanya.

Dalam keputusan SPM 2016 yang diumumkan baru-baru ini, seramai 1,015 pelajar atau 2.23 peratus daripada kese­luruhan 52,617 calon yang menduduki peperiksaan itu di Johor mendapat gred cemerlang A dalam semua mata pelajaran.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial