Pelatih ILP Tangkak Mewakili Malaysia Ke Pertandingan Kemahiran ASEAN Skills

ilp
Muhammad Hafeez (Kiri) bergambar bersama Pengarah ILP Tangkak, Mohammad Musa dan jurulatihnya, Al Hazari Jamal ketika memenangi pingat Emas dalam World Skills Malaysia Belia (WSMB) peringkat Kebangsaan tahun lepas

TANGKAK, 18 Sept. – Seorang pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak dipilih mewakili negara dalam pertandingan kemahiran, ASEAN Skills Competition (ASC) di ibu negara pada tahun ini.

Pelatih jurusan Teknologi Komputer Rangkaian, Muhammad Hafeez Afandi, 21, akan bertanding pada kategori Rangkaian Teknologi Maklumat (IT Network) mulai esok hingga 29 September di Serdang.

Penolong Pengarah Unit Komuniti & Sokongan Kerjaya (CESS), ILP Tangkak, Syed Mohd Aizuddin Tuan Sembak berkata kategori itu memerlukan peserta mencipta rangkaian teknologi maklumat sendiri.

“Pelbagai persiapan telah dijalankan oleh Muhammad Hafeez untuk memenangi pertandingan ini dengan dibantu jurulatihnya, Al Hazari Jamal.

“Latihan intensif di makmal teknologi komputer di bawah pemantauan Pakar Industri Negara (PIN) turut diadakan di Shah Alam, Selangor dan segala persiapan ini menambah keyakinan untuk mendapat pingat emas dalam ASC kali ini,” katanya.

ASC merupakan pertandingan di peringkat Asia yang dianjurkan dua tahun sekali dan memberi peluang kepada golongan belia berusia 17 hingga 22 tahun menunjukkan bakat dan kemahiran mereka.

Menurut Syed, jika pelatih anak kelahiran Muar itu berpeluang mendapat pingat emas, ini akan melayakkannya mewakili negara ke pertandingan kemahiran, World Skills Competition (WSC) 2017 di Abu Dhabi, United Arab Emirates pada Oktober tahun hadapan.

Sebelum ini, pelatih daripada jurusan yang sama, Mohamad Sabrie Hazizan telah mewakili Malaysia ke WSC 2015 di Sao Paolo, Brazil setelah berjaya merangkul pingat Emas di ASC Hanoi, Vietnam.

Sementara itu, Pengarah ILP Tangkak, Mohammad Musa Ahmad melahirkan rasa syukur dan bangga dengan penyertaan tersebut serta berharap ia dapat mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat emas dalam pertandingan itu.

“Saya juga berharap semua pensyarah terus gigih melatih pelatih-pelatih hingga terus cemerlang di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial