Pelbagai Isu Setempat Dapat Diselesaikan – Khaled

LABIS, 3 Feb – Peranan dan hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat memperlihatkan pelbagai masalah melibatkan isu-isu setempat dapat diselesaikan secara berhemah yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin menegaskan penglibatan ahli parlimen yang menjadi wakil kerajaan pusat memudahkan banyak masalah dapat diselesaikan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kerajaan negeri.

“Penduduk di Parlimen Labis amat bertuah kerana Ahli Parlimen di sini merupakan wakil kerajaan pusat yang memudahkan banyak masalah dapat dirujuk secara terus kepada Kerajaan Pusat.

“Antaranya apabila dalam RMK-11, Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM92.5 juta bagi tujuan baik pulih dan naik taraf Jalan Yong Peng – Segamat.

“Peruntukan itu sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah dan sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Labis, di Pusat Meninggikan Akhlak Che Thai Khor, di sini, semalam.

Majlis yang dianjurkan sempena Lawatan Kerja ke Parlimen Labis turut dihadiri oleh Barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tenang, Mohd Azhar Ibrahim dan Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Haffiz Ahmad.

Terdahulu dalam ucapan aluan, Chua Tee Yong merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana telah memperuntukkan sebanyak RM92.5 juta bagi tujuan baik pulih dan naik taraf Jalan Yong Peng – Segamat.

Katanya, projek tersebut dapat memberi manfaat kepada rakyat terutama penduduk di Parlimen Labis yang menggunakan laluan tersebut bagi
kegunaan harian.

Sementara itu, sempena lawatan Menteri Besar Johor ke Parlimen Labis, pelbagai isu-isu tertunggak melibatkan soal perumahan dan permohonan tanah bakal diselesaikan.

Menurut Mohamed Khaled, Kerajaan Negeri antara lain telah bersetuju untuk membuat Pengambilan Balik Tanah (PBT) di beberapa kawasan di Parlimen Labis berikutan kekurangan tanah yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri.

“Antaranya, pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) serta PKJ A dan B di kawasan seluas lima ekar di Mukim Chaah yang melibatkan kos berjumlah RM1.5 juta.

“Pihak Perbadanan Islam Johor (PIJ) pula akan membina 374 unit rumah mampu milik melibatkan pembinaan 107 unit RMMJ berharga RM150,000, 160 unit PKJ B (RM80,000) dan 107 unit PKJ A (RM42,000).

“Serta, projek di hadapan kawasan rumah mampu milik SPNB di Kg. Desa Temu Jodoh seluas lima ekar dengan kos RM750,000 bagi membuka peluang semua kaum di Parlimen Labis memiliki rumah,” katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk mencari tapak baru seluas 93 ekar di Mukim Bekok melibatkan permohonan tanah pertanian yang telah ditolak kerana tanah berkenaan merupakan tanah Rizab Hutan Simpan Tambahan dan kawasan tadahan air.

“Permohonan itu melibatkan 99 orang penduduk terdiri daripada 39 kaum Melayu, 52 Cina, tujuh India dan seorang dari kaum Orang Asli.

“Malah, kerja-kerja PBT juga akan dilakukan pada tahun ini di atas tanah Felcra Peta Temalik seluas 594 ekar, yang akan dibahagikan kepada 3 ekar bagi setiap plot.

“Selain pemindahan lebih 90 keluarga di Kg. Contoh ke kawasan baru seluas 12 ekar dengan kos sebanyak RM2 juta yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, menurut Mohamed Khaled keutamaan kerja-kerja PBT juga melibatkan beberapa kemudahan rumah ibadat bagi kaum Cina dan India.

“Antaranya, kelulusan kurniaan tanah kepada Pertubuhan Penganut Dewa Hong Sian Kong Chaah serta menggantikan tapak kawasan baru kepada Labis Buddhist Society dan Kuil Dewa Sri Mariamman yang terlibat dengan kerja-kerja pelebaran jalan.

“Selain itu, kelulusan bagi tapak perkuburan India dan Kristian yang baru di Sg. Karas melibatkan keluasan sebanyak enam ekar bagi kaum India, 1.44 ekar (Kristian) dan satu ekar lagi bagi tujuan laluan di kawasan perkuburan, ” katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan kepada beberapa persatuan bagi tujuan pembangunan.

“Antaranya, kelulusan peruntukan kepada Persatuan Penganut Dewa San Ti Shu Labis, sebanyak RM100,000; (RM50,000) Persatuan Tiong Hua Labis; serta (RM30,000) Kelab Sosial dan Persatuan Penganut Dewa Tu Shi Labis.

“Malah, peruntukan juga turut diagihakn kepada SJKT Cantuman Chaah sebanyak RM50,000 bagi tujuan naik taraf kantin sekolah; (RM500,000) tambahbaik kemudahan beberapa masjid serta RM500,000 bagi naik taraf padang,” katanya.

Malah, menurut beliau lagi Majlis Daerah Labis turut diberi peruntukan tambahan sebanyak RM2.5 juta bagi menampung keperluan pembangunan di kawasan tersebut.

Selain peruntukan bagi membina dan memasang talian telefon yang dianggarkan berjumlah RM650,000 yang sebahagian kos ditanggung oleh Telekom Malaysia.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang terjejas akibat banjir dan menyebabkan kerosakan di beberapa jalan di situ.

Malah, Kerajaan Negeri juga melalui Program Penyelenggaraan dan Pelebaran Jalan-jalan Kampung (2017-2018) telah memperuntukkan sebanyak RM4.85 juta bagi projek jalan kampung dan RM724,000 pula bagi projek pelebaran jalan.

“Peruntukan dari program tersebut juga mencukupi untuk menampung kos kerosakan jalan yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Mohamed Khaled semalam meneruskan siri lawatan kerjanya ke Parlimen Labis bagi meninjau perkembangan semasa terutamanya melibatkan isu-isu penduduk setempat di kawasan tersebut.

Ia merupakan kawasan Parlimen ke-6 sejak mengadakan lawatan sama di Parlimen Johor Bahru, Kulai, Kluang, Parit Sulong dan Muar sejak awal tahun ini.

Menurutnya, setiap siri lawatan bukan sahaja penting, tapi ia dinanti-nantikan oleh Kerajaan Negeri untuk meninjau kehidupan rakyat serta memerlukan usaha dan perancangan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri Johor.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial