Pelbagai Projek Mula Dilaksana Di Parlimen Kluang, Selesaikan Isu Rakyat

IMG_4363

KLUANG, 17 Jan. – Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan beberapa projek yang bakal dilaksanakan pada tahun ini di Parlimen Kluang, sekaligus akan menyelesaikan pelbagai isu dan masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasan tersebut.

Khabar gembira itu disampaikan Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dalam lawatan rasmi ke Parlimen Kluang yang turut mengumumkan peruntukan lebih RM150 juta bagi menjayakan projek tersebut, termasuk meluluskan pelbagai permohonan daripada penduduk setempat.

“Keputusan telah dibuat oleh Kerajaan Negeri terhadap beberapa projek yang akan dapat menyelesaikan masalah yang selama ini dihadapi oleh penduduk dan saya berharap kesemua ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh kita semua,” katanya.

Menurut beliau projek tersebut termasuklah pembinaan loji rawatan air dengan peruntukan sebanyak RM100 juta yang akan menyelesaikan masalah bekalan air di Kluang.

“Kita tahu Kerajaan Pusat telahpun dalam proses untuk menyiap dan membina Empangan Kahang dan apabila empangan itu siap, ia tidak bermakna masalah air akan dapat diselesaikan. Kita perlu sediakan loji rawatan air kerana tanpa loji ia tidak dapat membekalkan air yang dirawat kepada penduduk.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri telahpun meluluskan tapak untuk membina loji tersebut dan usaha untuk membina loji itu akan mula dilakukan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM100 juta oleh Kerajaan Pusat,” katanya ketika berucap pada majlis sempena lawatan kerja itu.

Yang turut serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota, Datuk Md. Jais Sarday; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Johor, Ismail Mohamed.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk membina bangunan Pejabat Daerah Kluang yang baharu dan kerja-kerja pembinaan tersebut akan dimulakan pada tahun ini dengan kos sebanyak RM35 juta.

Sebagai usaha untuk terus memberi kesejahteraan kepada rakyat dengan penyediaan lebih banyak rumah mampu milik, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk mengambil alih beberapa tanah di kawasan seperti Jalan Niyor, Kampung Sembrong dan Kampung Paya bagi pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

Menurut Mohamed Khaled, proses pengambilan tanah tersebut dengan peruntukan sebanyak RM8 juta akan dilakukan pada tahun ini dan apabila ia selesai, rancangan untuk pembinaan RMMJ pula akan mula dilaksanakan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

Untuk pendidikan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi membina dua buah sekolah agama di Taman Tamadun Islam dan Taman Delima, selain meluluskan peruntukan sebanyak RM350,000 bagi membaik pulih Sekolah Agama Kampung Tengah dan Sekolah Agama Gunung Lambak.

Bagi mengatasi masalah banjir pula, kerja-kerja menaik taraf sistem saliran di Taman Murni dan Taman Melodi akan mula dilaksanakan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM3 juta melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan sebanyak RM800,000 bagi menaik taraf parit Kampung Paya, Kampung Melayu Mardi (RM800,000) dan cadangan mengukuhkan tebing Sungai Melantai (RM200,000).

Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk membaik pulih dewan orang ramai di Kampung Tengah dan menaik taraf dewan orang ramai di Kampung Dato’ Abdul Rahman Yassin, dengan peruntukan masing-masing RM300,000.

Bagi cadangan pembinaan bangunan dewan terbuka di Taman Kluang Barat dengan kos RM500,000 pula, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM250,000 dan selebihnya akan ditanggung oleh Majlis Perbandaran Kluang.

Sementara itu, mengenai kerja-kerja pembinaan Masjid Taman Sri Kluang dengan kos sebanyak RM5 juta yang akan mula dilaksanakan pada tahun ini, Kerajaan Pusat bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM2 juta serta sumbangan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebanyak RM2 juta.

Kerajaan Pusat juga telah meluluskan pembinaan Masjid Taman Delima dengan peruntukan sebanyak RM2.1 juta dan selebihnya iaitu RM1 juta akan diusahakan oleh Kerajaan Negeri.

Selain itu, usaha-usaha membaik pulih Masjid Kampung Bentong dan Masjid Ar-Rasyiddin di Ladang Bukit Benut juga akan dilaksanakan dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM100,000 serta pembinaan Surau Al-Kahfi dan Surau Ar-Raudah di Taman Sri Impian dengan peruntukan masing-masing RM300,000.

Tidak ketinggalan bagi masyarakat Cina, Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengambil milik tanah ladang Revertex Kluang dengan kos sebanyak RM2.86 juta bagi mengatasi masalah penempatan semula 100 lot masyarakat Cina di Kampung Dato’ Abd Rahman Yassin.

Peruntukan sebanyak RM200,000 bagi pembinaan semula Tokong Koh Chin Jin di Jalan Haji Manan turut diluluskan.

Bagi masyarakat kaum India pula, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk pembinaan Rumah Berhala Sri Vel Murugan Allayam yang akan dijadikan sebagai pusat kebudayaan masyarakat India.

Turut diumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM500,000 daripada Kerajaan Negeri bagi projek merekabentuk dan membina balai raya dan gerai kabin di Kampung Paya serta pembinaan gerai ekonomi dan pusat pengumpulan produk Indusri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan peruntukan sebanyak RM150,000.

Antara projek lain yang turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri ialah pembinaan Xtreme Park di Jalan Besar dengan peruntukan tambahan sebanyak RM500,000 dan pembinaan sebuah Klinik Waqaf An-Nur dan Pusat Dialisis oleh Johor Corporation yang akan mula dilaksanakan pada Jun tahun ini dengan kos lebih RM762,000.

Parlimen Kluang merupakan lokasi ketiga lawatan kerja Kerajaan Negeri pada tahun ini selepas Johor Bahru dan Kulai.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial