PELUANG PENJAWAT AWAM MILIKI RUMAH

image (4)

KLUANG – Kerajaan akan memperluas pembinaan unit perumahan di bawah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dengan harga RM90,000 hingga RM120,000 untuk dimanfaatkan oleh penjawat awam yang berpendapatan rendah.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, unit perumahan PPA1M yang dibina itu akan dimanfaatkan oleh semua peringkat kakitangan awam untuk mempunyai kediaman sendiri.

“Kita jangka akan membina kediaman dengan harga RM90,000 hingga RM120,000 untuk dimanfaatkan oleh penjawat awam yang bergaji pokok RM1,000 dan itu dalam perancangan kerajaan.

“Kerajaan sangat komited untuk membina perumahan mampu milik khusus untuk penjawat awam memiliki rumah kediaman sendiri. Malah, kerajaan turut memberi potongan harga di antara 20 hingga 30 peratus bagi harga kediaman yang dibina di bawah PPA1M,” katanya dalam sidang media dalam majlis Penyampaian Sumbangan di Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Damo Kluang, semalam.

Hadir sama isterinya, Puan Sri Rohani Abdullah yang juga Yang DiPertua Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perhidmatan Awam (Puspanita).

Sementara itu, Ali yang juga Penasihat Puspanita berkata, projek PPA1M akan dibina di negeri ini di tiga kawasan iaitu di Pengerang, Bandar Penawar, Kota Tinggi dan Kluang.

Beliau berkata, di Kluang sebanyak 325 unit kediaman rumah teres dua tingkat akan dibina bagi fasa pertama di atas tanah seluas 32 hektar bermula Januari tahun hadapan dan dijangka siap akhir 2017.

“Unit kediaman berkenaan merupakan fasa pertama ianya mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk disiapkan dan selepas itu pembinaan rumah fasa kedua turut dibina bergantung kepada permintaan.

“Pembinaan unit kediaman ini hanya khusus untuk penjawat awam di daerah ini untuk memohon dengan harga lebih rendah daripada harga sepatutnya kerana kita akan beri 20 hingga 30 peratus lebih murah dari harga rumah yang sebenar iaitu kurang RM300,000,” katanya.

Beliau berkata, bagi PPA1M di kawasan Pengerang sebanyak 500 unit kediaman akan dibina manakala di Bandar Penawar sebanyak 600 unit kediaman.

Ali dalam pada itu turut berterima kasih kepada Puspanita yang menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanak-kanak di Wad Pediatrik HEBHK dan enam rumah kebajikan sekitar daerah Kluang termasuk  Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Damo.

Mengenai lawatannya ke Kluang, Ali berkata ia merupakan program turun padang untuk bertemu rakyat dan penjawat awam dengan program yang sama dijangka akan dilakukan di Terengganu, Sabah serta Sarawak dalam masa terdekat.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial