PEMAIN KELETIHAN – GOMEZ

image (3)

MENCATATKAN keputusan seri 1-1 ketika menentang South China FC dalam aksi suku akhir pertama Piala AFC, kelmarin diterima dengan hati terbuka pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez.
 
Ketua jurulatih dari Argentina itu mengakui anak didiknya bakal berdepan cabaran sebuah pasukan yang kuat sebelum perlawanan bermula.
 
Malah menurutnya, dihimpit dengan jadual padat dalam aksi Liga Super sebelum ini, menyaksikan kesemua pemainnya kepenatan secara fizikal berbanding kelab dari Hong Kong itu.
 
“Dalam separuh masa pertama, kami bermain secara bertahan dengan baik dan kemudian berjaya mencipta jaringan.
 
“Bagaimanapun, selepas 70 minit permainan, kami keletihan. Mereka (pemain) berusaha untuk mendapatkan gol kedua, tetapi ia sukar,” katanya.
 
Gomez berkata, meskipun dia ada berkongsi rahsia mengenai kekuatan dimiliki lawan yang pernah dilatihnya sebelum ini, situasi berbeza apabila perlawanan bermula.
 
“Pasukan lawan memang bagus dan mereka memiliki pemain yang baik.
 
“Tambahan pula kami kepenatan. Kami harapkan yang terbaik untuk suku akhir kedua nanti,” katanya.
 
Pada perlawanan tersebut, Juara Liga Super 2015, JDT menguasai babak awal perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pasukan pelawat namun dihampakan ketumpulan jentera serangan dan kekebalan pertahanan lawan yang diketuai Moses Mensah sehinggalah tamat separuh masa pertama.
 
Memasuki babak kedua, Harimau Selatan meneruskan asakan ke kubu pelawat dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-49.
 
Tersentak dengan gol berkenaan, South China kembali bangkit dan berjaya menjadikan kedudukan 1-1 selepas Mahama Awal memanfaatkan permainan 1-2 bersama Chan Siu Ki sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan.
 
Kedua-dua pasukan terus berusaha menambah jaringan namun kekebalan benteng pertahanan masing-masing menyaksikan perlawanan berakhir dengan seri 1-1 dan kedua pasukan akan bertembung untuk timbal balik pada 15 September nanti.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial