PEMANDU LORI TANGKI DITAHAN BANTU SIASATAN KEMALANGAN MAUT

image (2)

Polis menahan seorang lelaki dipercayai pemandu lori tangki yang terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa empat sekeluarga di Kilometer 55.5, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran Felda Air Tawar 2, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Rahmat Othman berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan pada pukul 12 tengah hari ini ketika hadir di Balai Polis Trafik Kota Tinggi untuk membuat laporan tentang kejadian tersebut.

“Lelaki berkenaan hadir bersama kelindannya yang berusia 27. Bagaimanapun kelindan itu dibebaskan.

“Hasil ujian air kencing pemandu berkenaan menunjukkan keputusan negatif, malah sampel darahnya juga telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut. Kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam, empat sekeluarga, iaitu seorang guru, Mohd. Najib Mat Idris, 29; isterinya, Mahfuzah Abdul Hamid, 29, dan dua anak mereka, Nabiha, 1, dan Mohd. Anas yang berusia empat bulan maut di tempat kejadian.

Mangsa yang cedera parah adalah adik kepada Mahfuzah, Mahirah Huda Abdul Hamid, 22, dan dia kini dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki dari arah Sungai Rengit menghala ke Kota Tinggi hilang kawalan selepas membrek sehingga mengakibatkan kepala lori masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh Proton Wira yang dipandu oleh Mohd. Najib. – UTUSAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial