PEMBANGUNAN KOTA TINGGI 2020, IDEA MASYARAKAT DIPERLUKAN

KOTA TINGGI – Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kota Tinggi 2020 dilancarkan hari ini dengan membuka peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama mengemukakan cadangan, maklumbalas dan idea terhadap perancangan pembangunan daerah Kota Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi berkata program yang dijalankan selama sebulan ini adalah lanjutan daripada kajian ke atas laporan Rancangan Tempatan Daerah Kota Tinggi setelah mengambil kira pembangunan terkini sejak dari tahun 2007.

“Segala perubahan telah diambil kira di dalam kajian ini supaya setiap perancangan menepati peredaran semasa dan memenuhi aspirasi rakyat.

“Maka dengan itulah, saya ingin mengambil peluang ini untuk menyeru dan membuka peluang kepada orang ramai terutamanya yang berkepentingan di daerah Kota Tinggi untuk bersama-sama melaksanakan tanggungjawab dengan mengemukakan samada cadangan, maklumbalas, idea atau pandangan ke atas perancangan yang telah dirangka dalam dokumen tersebut,” beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kota Tinggi 2020 di sini, hari ini.

Katanya, beliau berharap agar peluang yang diberikan sepanjang tempoh empat minggu ini dapat digunakan sebaiknya oleh masyarakat demi merealisasikan apa yang dirancang dalam pembangunan daerah Kota Tinggi bukan sahaja untuk keperluan pada hari ini tetapi juga untuk kepentingan generasi akan datang.

Draf Rancangan Tempatan Daerah Kota Tinggi telah menetapkan wawasan untuk “Menjadikan Daerah Kota Tinggi Sebagai Pusat Pelancongan Berteraskan Warisan Sejarah Dan Sumber Semulajadi Yang Unggul Dan Kondusif Menjelang Tahun 2020″.

Melalui dokumen ini, pembangunan yang akan dilaksanakan akan memberikan penekanan yang lebih seimbang antara keperluan ekonomi, sosial dan juga alam sekitar yang mana selari dengan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor.

Menurut Abd Latif, perancangan ke atas sektor pelancongan masih diberikan penekanan yang utama di samping sektor industri dan pertanian.

“Kepelbagaian sumber semulajadi yang ada di daerah Kota Tinggi seperti hutan, persisiran pantai, jaringan sungai, air terjun dan sebagainya akan dibangunkan secara berkesan dan mesra alam.

“Manakala bidang pertanian yang kini menjadi asas ekonomi penduduk di daerah Kota Tinggi akan diteruskan dan ditambah baik melalui cadangan-cadangan peningkatan cabang pertanian seperti aktiviti akuakultur, agro-lancong dan industri hiliran yang berasalkan hasil pertanian,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengemukakan sebarang cadangan, maklumbalas dan idea boleh berurusan di pejabat Majlis Daerah Kota Tinggi bermula hari ini hingga 22 Oktober.

Kajian Draf Rancangan Tempatan Daerah Kota Tinggi ini telah dimulakan pada 23 April 2007 dan siap sepenuhnya pada tahun 2008.

Program Publisiti dan Penyertaan Awam yang pertama telah diadakan pada 1 Jan 2009 hingga 16 Feb 2009 dan sesi Pendengaran Awam telah diadakan pada 31 Mac 2010.

Bagaimanapun, proses pewartaan tertangguh kerana terdapat perubahan yang drastik ke atas Rancangan Tempatan Daerah Kota Tinggi, antara lain berkaitan cadangan pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang.

Susulan itu, satu Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pengerang juga telah dijalankan bagi mengkaji secara terperinci kesan pembangunan tersebut agar selari dengan aspirasi kerajaan dan rakyat.- TV SELATAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial