PEMBATALAN PROJEK PUSAT PERDAGANGAN ASEAN BUKAN TIDAK YAKIN POTENSI ISKANDAR MALAYSIA

image

NUSAJAYA: Keputusan UEM Sunrise untuk tidak meneruskan projek Pusat Perdagangan ASEAN di Iskandar Malaysia bukan kerana syarikat tersebut tidak yakin terhadap potensi besar wilayah ekonomi itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sebaliknya, keputusan yang dibuat merupakan keputusan komersil dan diambil bagi menumpukan perhatian kepada projek-projeknya yang sedang berjalan dan lebih berkepentingan utama, kata beliau yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

"Ia bukan dibuat kerana ketidakyakinan potensi Iskandar Malaysia malah jauh sekali UEM meragui Iskandar Malaysia sebagai wilayah pelaburan. Lagipun, ia adalah projek yang belum bermula dan di peringkat perancangan.

"UEM juga masih ada banyak projek di Iskandar Malaysia," katanya pada mesyuarat kedua penggal persidangan ketiga Dewan Negeri Johor yang ke-13 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled (BN-Permas) berkata demikian ketika menjawab soalan Chen Kah Eng (DAP-Stulang) mengenai rancangan UEM Sunrise untuk membatalkan projek membangunkan Pusat Perdagangan Asia Mei tahun ini.

"Saya yakin IRDA tidak akan menghadapi masalah untuk mencari pelabur lain untuk membangunkan projek baharu di situ," katanya sambil menambah pembatalan projek itu tidak menjejaskan kemasukan pelaburan dan memberi impak negatif terhadap Iskandar Malaysia.

Berita pembatalan projek itu yang merupakan sebahagian daripada projek Gerbang Nusajaya seluas 1,840 hektar, sebelum ini dilaporkan sebagai satu isyarat yang menandakan wilayah ekonomi tersebut turut merasai keadaan tidak menentu ekonomi dunia.

Terdahulu, Mohamed Khaled berkata sasaran pelaburan terkumpul bagi Iskandar Malaysia sebanyak RM383 bilion menjelang 2025 adalah sesuatu yang munasabah, realistik dan boleh dicapai.

Beliau berkata Iskandar Malaysia turut dilihat sebagai pembangunan wilayah ekonomi paling dinamik yang bukan sahaja meraih pelaburan terkumpul tinggi tetapi juga mendapat pelaburan berkualiti.
Sehingga Jun 2015, Iskandar Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM172.51 bilion daripada RM11.30 bilion pada tahun 2006, yang turut dilihat sebagai aliran kemasukan pelaburan memberangsangkan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chen mengenai keyakinan negara untuk mencapai matlamat pelaburan di Iskandar Malaysia menjelang 2025.- ASTRO AWANI

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial