PEMBEKALAN AIR BERJADUAL DITERUSKAN SEHINGGA STOK AIR STABIL-MB JOHOR

JOHOR BAHRU: Pembekalan air berjadual bagi penduduk di Pasir Gudang dan sebahagian Johor Bahru akan diteruskan sehingga paras air di Empangan Layang Atas di Pasir Gudang di sini, mencecah bacaan 23.5 meter.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata ketika ini, bacaan paras air empangan berkenaan adalah 19.11 meter, di bawah paras kritikal 23.5 meter berbanding paras normal 26.6 meter. 

Katanya, perkara itu berlaku berikutan keadaan cuaca kering disebabkan oleh kadar hujan yang rendah dan kadar sejatan yang tinggi. 

 "Keadaan cuaca kering ini juga dilihat berlaku sejak dua tahun yang lalu dan bagi memastikan paras air di empangan Layang Atas dapat dikekalkan pada satu tahap, beberapa langkah sedang diambil oleh pihak terbabit termasuk mengepam air dari Sungai Johor dan pembenihan awan.

"Ketika ini air dari Sungai Johor dipam untuk membantu, kita juga sedang lihat opsyen-opsyen lain seperti pembenihan awan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau keadaan paras air di empangan itu, di sini semalam. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad. 

Beliau berkata, kerajaan Johor kini sudah memaklumkan kepada kerajaan Singapura bagi melakukan proses pembenihan awan berikutan ia membabitkan penggunaan ruang udara negara republik berkenaan.

"Kerajaan negeri sedang menunggu persetujuan daripada Singapura dan saya harap ia (proses pembenihan awan) mendapat kerjasama daripada kerajaan republik itu.

Kita juga akan mengkaji apa yang dilakukan di Thailand iaitu pembenihan awan secara berterusan sama ada ini boleh dilakukan (di Johor ) atau pun tidak.

"Selain itu, kerajaan Johor juga akan memantau dan mengambil kira aspek pembangunan yang berlaku di sekitar kawasan empangan atau sungai bagi memastikan bekalan air bersih kepada pengguna tidak terjejas," katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial