PEMBENIHAN AWAN BAKAL DIBUAT 2 MINGGU LAGI

HASNI MOHAMMAD / EXCO KERJA RAYA KEMAJUAN LUAR BANDAR JOHOR

NUSAJAYA – Operasi pembenihan awan di ruang udara Empangan Sungai Layang bakal dijalankan dalam masa dua minggu lagi sebelum tempoh catuan air berakhir 15 September ini.
    
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad berkata, meskipun terdapat hujan beberapa hari lepas, paras air di empangan berkenaan masih menunjukkan penurunan.

"Dengan bantuan dan kerjasama pejabat Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru, kita tidak perlu menunggu secara rasmi dan hanya sekadar memaklumkan kepada Singapura tentang kaedah dan tarikh pelaksanaan operasi itu," kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Induk Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hasni berkata, perkara itu kini sedang diuruskan oleh Jabatan Meteorologi Johor dan tidak lagi di peringkat persekutuan.

Buat masa ini, paras air di empangan Sungai Layang turun kepada 18.99 meter, berbanding paras normal iaitu 26.6 meter, kata Hasni sambil menambah catuan hanya akan dihentikan apabila paras air di empangan itu mencecah bacaan 23.5 meter.

"Disebabkan fenomena iklim yg berubah, kami hanya menerima 50 peratus sahaja hujan yang sepatutnya diterima," kata beliau.

Johor katanya menerima jumlah hujan purata tahunan sebanyak 2,500 mm.

Bagaimanapun, bagi jangka masa panjang, beliau berkata kerajaan negeri bakal menerima bekalan air mentah sekurang-kurang 30 juta liter sehari bagi kegunaan awam apabila projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang mula beroperasi. – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial