Arena Larkin, Stadium Olahraga Mount Austin Bukti Johor Capai Status Ekonomi Kuasa Besar

img_1680
Model pembangunan Arena Larkin

JOHOR BAHRU, 5 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan Majlis Pelancaran Arena Larkin dan Stadium Olahraga Mount Austin di sini, dalam rangka lawatan kerjanya selama dua hari ke Negeri Johor.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata pembinaan kedua-dua kemudahan sukan yang berstatus antarabangsa itu berjaya membuktikan Johor sudah mencapai ekonomi berkuasa besar.

Beliau berkata, kemajuan pesat yang dicapai Johor membolehkan dua anak syarikat kerajaan negeri iaitu Johor Corporation (JCorp) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) mampu membangunkan kemudahan tersebut.

“Biasanya saya melancarkan satu projek sahaja atau sebuah stadium, tetapi hari ini saya melancarkan projek yang melibatkan empat buah stadium iaitu projek Arena Larkin bernilai RM350 juta dan pembinaan Stadium Olahraga Mount Austin bernilai RM89 juta yang bakal dibangunkan oleh dua badan korporat milik Kerajaan Negeri.

“Saya membuat kesimpulan bahawa semua ini dapat dilaksanakan kerana Johor sudah membangun dengan pesat dan menjadi kuasa ekonomi yang besar.

“Jika sesebuah negeri tidak maju ekonominya dan tidak ada kuasa pembelinya dan tidak ada potensi nilai tanahnya, tidak mungkin projek seperti ini dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap melancarkan Arena Larkin dan Stadium Olahraga Mount Austin di tempat letak kenderaan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kasim; Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Abd Razak Mohd Yusoff serta barisan Exco Kerajaan Negeri yang lain.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata pembinaan kemudahan-kemudahan sukan ini juga sebagai persediaan Johor yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia  (SUKMA) pada 2020 nanti.

“Johor berazam untuk memberikan satu penganjuran dan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa dan secara tidak langsung, kita harap aspek kemudahan yang baik seperti ini akan menjadi penyumbang kepada peningkatan prestasi dan pencapaian semua para atlet kelak,” katanya.

Tambah beliau, melalui pembangunan kemudahan ini juga, diharapkan proses pencarian bakat dan potensi baharu dalam bidang sukan dapat terus dipertingkatkan.

Menteri Besar juga mahu masyarakat melihat pembinaan kedua-dua projek ini sebagai satu pelaburan dan bukannya perbelanjaan.

“Ini kerana pertama, apabila komuniti lengkap dengan segala kemudahan, termasuklah dalam aspek sukan, ia akan menjadi salah satu faktor menarik orang luar untuk datang ke Johor.

“Kedua, kemudahan seperti ini adalah satu pelaburan kerana ia akan memberi lonjakan dalam usaha melahirkan masyarakat yang sihat. Ia boleh dianggap sebagai satu strategi tidak langsung untuk mengurangkan perbelanjaan dan kos perubatan atau penjagaan kesihatan,” tambahnya.

img_1671
Model pembangunan Stadium Tertutup MBJB

Arena Larkin yang bakal dibangunkan JCorp menerusi anak syarikat dalam kumpulan, Johor Land Berhad (JLand) melibatkan kawasan seluas 104 ekar itu merangkumi pembinaan Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan projek menaik taraf Kolam Renang MBJB menjadi Pusat Akuatik Negeri Johor  yang dilengkapi dengan pelbagai fasiliti.

Pusat tersebut akan diubah suai agar mesra pengguna termasuk untuk memudahkan pergerakan orang kelainan upaya (OKU).

Projek pembangunan Arena Larkin dijangka siap pada 2020.

Selain itu, Stadium Tan Dri Haji Hassan Yunos juga bakal dinaik taraf dengan beberapa penambahan iaitu pemasangan skor digital, penambahbaikan sistem lampu limpah serta penggantian baharu tempat duduk pemain dan penonton.

Projek yang menelan belanja sebanyak RM36 juta ini dijangka siap penghujung tahun hadapan.

Sementara itu, pembinaan Stadium Olahraga Mount Austin bakal dilengkapi dengan prasarana sukan seperti trek lumba, padang latihan, padang futsal dan gymnasium bertaraf dunia.

Stadium yang berkapasiti 5,000 orang ini akan turut memberi kemudahan sukan berkumpulan seperti ragbi dan juga bola sepak.

Projek ini juga turut dilengkapi pembinaan pusat kecemerlangan sukan, klinik, hostel dan pelbagai kemudahan sokongan lain bagi membolehkan pembangunan sukan dijalankan dengan teratur, berpusat dan lancar, selain sebagai satu usaha bersepadu dalam memperkasa dan merakyatkan pembangunan sukan Negeri Johor.

img_1677
Model pembangunan Stadium Olahraga Mount Austin

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial