PEMBINAAN EMPANGAN KAHANG DIJANGKA SIAP SEPENUHNYA MEI 2017

image (3)

KLUANG – Pembinaan Empangan Kahang berdekatan Felda Kahang Timur, dekat sini, siap 27 peratus sebelum dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2017.

Adun Mahkota, Md Jais Sarday berkata, empangan yang dibina di kawasan seluas 860 hektar itu telah mula bermula sejak Mei tahun lepas dan mampu menampung simpanan sebanyak 21 juta meter padu air bagi membekalkan air mentah mencukupi untuk sebahagian penduduk Kluang sehingga 2035.

Beliau berkata, Empangan Kahang yang dibina itu mampu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di daerah ini.

“Empangan Kahang juga mampu membekalkan 90 juta liter air sehari kepada pengguna apabila siap sepenuhnya.

“Namun, menerusi fasa satu, empangan itu mampu mengeluarkan 40 juta liter air sehari bagi menampung keperluan 26,000 akaun pengguna di Kahang, Paloh dan sebahagian Jalan Mersing, di Kluang,” katanya pada tinjauan projek pembinaan empangan itu, di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, empangan itu juga mampu menampung bekalan air sehingga lapan bulan jika kawasan Kluang tidak mehujan dalam tempoh tersebut.

Ujarnya, pembinaan yang dianggar menelan kos RM86.3 juta itu diharap mengatasi masalah kekurangan bekalan air di Kluang seperti yang pernah berlaku pada 2004, 2005 dan 2010.

Jelasnya, Empangan Kahang telah dikenal pasti salah satu sumber air alternatif melalui kajian terdahulu seperti National Resource Study 2004.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan lawatan ke Kluang pada 26 Mac 2011 dan mengumumkan pelaksanaan projek pembinaan Empangan Kahang.

“Peruntukan diluluskan secara geran dan dilaksanakan Jabatan Bekalan Air, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air,” katanya.

Md Jais turut menyatakan bahawa sehingga saat ini pihaknya tiada perancangan menutup Loji Rawatan Air Sembrong Timur walaupun Empangan Kahang telah siap kelak.

Beliau berkata, Loji Rawatan Air Sembrong Timur masih mempunyai fungsinya dan mampu menampung jumlah pengeluaran air walaupun Empangan Kahang sudah siap dibina.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pembinaan projek Empangan Kahang ini sudah cepat lebih kurang 0.05 peratus pembinaannya. Jadi, secara langsung pembinaan empangan Kahang ini berjalan lancar mengikut jadualnya,” katanya.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial