PEMEGANG AKAUN PNB CECAH 12.46 JUTA ORANG

image (5)

BATU PAHAT  – Jumlah pemegang akaun produk unit amanah yang ditawarkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hingga Julai lalu mencecah 12.46 juta orang.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, jumlah pelabur itu mewakili kira-kira 40 peratus kependudukan negara dengan mengambil kira pemilikan multiple account bagi seorang pelabur.

Beliau berkata, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini sahaja, bilangan pemegang akaun baharu unit-unit amanah meningkat sebanyak 220,000 orang.

“Pelaburan bersih hasil pelabu­ran semula dan langganan unit-unit baharu meningkat sebanyak 9.13 bilion unit bagi tempoh yang sama dan menjadikan unit dalam edaran berjumlah 201.79 bilion.

“Dalam suku tahun pertama 2015 pula, dana milik pelabur yang dicampur dengan dana proprietari yang diurus PNB adalah berjumlah kira-kira RM278 bilion atau 16 peratus daripada nilai pasaran modal,” katanya pada majlis penyampaian hadiah Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia Kategori Institut Pendidikan Guru (IPG), di IPG Kampus Tun Hussein Onn di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Mengulas lanjut Ahmad Sarji berkata, kepercayaan pelabur terhadap semua skim unit saham amanah adalah hasil daripada kejayaan PNB mengagihkan pendapatan pada kadar kompetitif.

“Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, lebih RM1.56 bilion agihan pendapatan telah dibayar menjadikan jumlah terkumpul agihan pendapatan dan bonus kepada pemegang saham sejak 1981 hingga Julai tahun ini berjumlah RM130.92 bilion,” katanya.

Mengenai pertandingan kuiz itu, Ahmad Sarji menyifatkan sebagai landasan yang amat sesuai untuk meningkatkan lagi ilmu pelaburan dan perancangan kewangan kepada bakal guru.- UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial