Pemimpin, Ahli perlu bekerjasama untuk perkuat UMNO

BAKRI: Sokongan dan kerjasama dari ahli UMNO merupakan tunjung utama kekuatan parti dalam menempuh cabaran dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada pucuk pimpinan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata  sebagai sebuah parti  yang menjadi nadi utama rakyat, setiap ahli haruslah berdiri bersama pemimpin dalam mentadbir negara dan amanah yang digalas.

“Kekuatan seorang pemimpin adalah apabila setiap ahlinya memberikan kerjasama dan sokongan yang jitu kepada pemimpin mereka.

“Oleh itu, setiap ahli haruslah terus bersama pemimpin mereka dan menyokong setiap usaha yang dilakukan. Jangan biarkan pemimpin berseorangan dalam menerajui parti dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan UMNO Bakri, di Maktab Rendah Sains Mara, di sini.

Dalam ucapannya itu juga, beliau turut meminta kepada setiap Ketua Bahagian dan ahli jawatankuasanya supaya turun keperingkat akar umbi bagi mengenalpasti punca dan masalah yang timbul dan kemahuan rakyat.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata,  suara dari peringkat akar umbi amat penting dan haruslah diberikan tumpuan dan mencari jalan penyelesaian.

“Hari ini saya turun ke Bakri untuk menunjukkan sokongan saya kepada anda semua. Tumpuan kita kini adalah untuk mendapatkan semula kawasan yang telah terlepas kepada pembangkang.

“Untuk itu, kita harus bersatu dan bersama bagi memastikan usaha ini terhasil. Ketua bahagian dan jawatankuasanya harus tahu apa kehendak akar umbi dan bersama dalam memastikan usaha ini berhasil,” katanya.

Sementara itu, ketika dalam ucapannya di Majlis Perasmian Persidangan UMNO Muar di Dewan Masyarakat Sungai Sarang Buaya, Muar, Mohamed Khaled berkata dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, setiap bahagian perlulah mempunyai perancangan dan strategi untuk mengembalikan sokongan rakyat.

Selain itu, katanya wakil rakyat haruslah memainkan peranan dengan menyampaikan setiap dasar kerajaan kepada masyarakat supaya setiap dasar itu difahami dan disokong.

“Setiap dasar kerajaan haruslah difahami rakyat supaya mereka tidak keliru, malah menyokong setiap apa yang kita lakukan melalui dasar itu,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial