Peminjam Hutang YPJ RM19.8 Juta

KOTA ISKANDAR, 23 Nov – Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) mencatat kira-kira RM19.8 juta tunggakkan pinjaman membabitkan 7,370 peminjam sehingga September tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Md Jais Sarday berkata, antara alasan yang sering diberi adalah kelalaian serta masalah kewangan.

“Kadang-kala alasan yang diberi tidak masuk akal kononnya mereka tidak tahu mereka perlu membayar yuran pengajian.

“Ada juga yang sukar untuk kita hubungi kerana telah mengubah nombor telefon atau telah berpindah kediaman.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan yang dilakukan oleh Ayub Jamil (BN-Rengit) tentang jumlah pinjaman yang dikeluarkan YPJ dari tahun 2013 hingga 2015.

Tambah Md Jais, dalam usaha untuk mengurangkan jumlah tunggakan itu, YPJ telah memperkenalkan diskaun 20 peratus bagi pembayaran tunggakan penuh pada tahun ini.

“Sehingga suku ketiga tahun ini, kita telah berjaya mengutip RM2.2 juta daripada 1,678 peminjam, melebihi sasaran asal sebanyak RM1.5 juta.

“Kita turut mengambil berat tentang mereka yang menghadapi masalah kewangan dengan menawarkan penstrukturan semula pembayaran pinjaman dengan syarat mereka membuat bayaran pendahuluan RM300,” katanya.

Beliau turut menerangkan bahawa peminjam telah diberi banyak saluran untuk membuat bayaran sama ada di kaunter, perbankan atas talian atau melalui penolakan gaji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau juga memberi amaran mereka yang gagal membayar pinjaman akan disenaraikan dalam CTOS.

“Lebih 500 nama telah dimasukkan ke dalam senarai itu daripada 4,520 peminjam yang dikenal pasti.

“YPJ telah memberikan pinjaman pengajian bernilai RM243.8 juta kepada lebih 19,000 peminjam sejak tahun 1979,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial