PEMUDA UMNO SEGAMAT TEMPELAK KETUA UMNO SUNGAI BESAR

image

SEGAMAT – Pemuda Umno Bahagian Segamat menempelak Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos dan meminta beliau supaya meminta maaf secara terbuka kepada Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
 
Ketuanya, Bastien Onn berkata, ini kerana Menteri Besar Johor itu telah menyatakan pendiriannya secara terbuka dan jelas sebelum ini bahawa akan sentiasa berada di belakang Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak demi semangat cintakan parti.
 
“Perlu difahami juga bahawa Umno Johor sentiasa memberi peluang kepada ahlinya untuk menyuarakan pendapat dan tidak sewajarnya dijadikan alasan kelemahan kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled dalam memacu Umno Johor.
 
“Johor juga adalah tempat lahirnya Umno yang berpunca dari suara rakyat sendiri dan oleh itu pendekatan ini (menyuarakan pendapat) wajar diteruskan dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan.
 
Menurutnya, Umno Johor meletakkan matlamat utama untuk memastikan Umno dan BN terus kekal memerintah Malaysia serta Johor dan ada kalanya suara-suara selain daripada Menteri Besar adalah perlu untuk menyuarakan kebimbangan rakyat.
 
Katanya, beliau juga berpendapat adalah tidak menjadi suatu kesalahan apabila mereka yang berjawatan dan mewakili suara rakyat menyuarakan pendapat kerana itu adalah sebahagian daripada fungsi berpolitik iaitu membawa suara orang di peringkat bawahan.
 
“Kita perlu menerima perbezaan pendapat dengan hati terbuka kerana seorang pemimpin perlukan orang di sekeliling yang boleh menegur bagi menampung kekurangan dan bukan hanya memuji serta mengeluarkan kata-kata menyokong tanpa berlandas fakta dan hakikat.
 
“Politik ‘pak turut’ hanya merugikan Umno sendiri sahaja dan tidak digemari oleh rakyat. Perbezaan ini merupakan sebahagian daripada proses penyelesaian masalah dan memberikan kita ruang untuk melihat pilihan yang ada dan membantu proses tersebut,” katanya.
 
Menurutnya, mereka yang menyuarakan pendapat yang berlainan bukanlah seorang pengkhianat jika ia menggunakan medium rasmi yang ada seperti mesyuarat perwakilan bahagian kerana ia adalah platform ahli untuk bersuara.
 
Katanya, perbezaan pendapat juga menunjukkan ahli masih sayangkan parti keramat ini dan Umno sebagai sebuah parti yang terbuka kerana memberi peluang kepada ahlinya untuk menyuarakan isi hati mereka.
 
“Perbuatan mencampuri pentadbiran orang lain juga merupakan sesuatu yang kurang beretika dan kami juga memohon kepada semua agar menghentikan serangan bersifat peribadi yang berbentuk spekulatif kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.
 
“Kami berharap tindakan seperti ini tidak patut diulangi oleh mana-mana pemimpin Umno dan meminta Datuk Jamal menghormati kepimpinan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar,” katanya.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial