Penambahan Cawangan imCoop Bukti Keprihatinan Kerajaan Negeri

PENGERANG, 16 Mac – Pembukaan cawangan ke-12 Kedai Harga Patut Muafakat Johor (imCoop) di sini membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata pembukaan cawangan itu dapat memberi peluang kepada penduduk setempat membeli barangan keperluan dengan harga yang lebih murah dan menjimatkan.

Ini terutamanya di kawasan yang sedang pesat membangun dan berdepan dengan peningkatan kos sara hidup seperti di Pengerang.

“Usaha itu juga bertepatan dengan kedudukan strategik Pengerang hasil limpahan projek RAPID yang mampu menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi penduduk setempat.

“Malah, ia juga adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa lawatan kerjanya ke Parlimen Pengerang, di Dewan Taman Bayu Damai di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor; Ahli Parlimen Pengerang, Dato’ Sri Azalina Othman Said; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Syed Sis Syed A. Rahman; ADUN Penawar, Hamimah Mansor dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr. Badrul Hisham Kassim.

Menurutnya, pembukaan imCoop itu juga memastikan keberkesanan konsep gabungan keusahawanan secara koperasi dapat dijayakan.

“Cawangan itu di bawah pengurusan Koperasi Pengerang Kota Tinggi Berhad (KOPETI).

“Ia merupakan cawangan kedua yang beroperasi di Pengerang selepas pembukaan yang pertama di dalam RAPID,” katanya.

Tambahnya, usahasama secara koperasi itu juga menjadi pemudahcara kepada sokongan geran serta kemudahan pembiayaan oleh Kerajaan Negeri.

Pada majlis tersebut, Mohamed Khaled turut menyampaikan Geran Bantuan Pembukaan Outlet imCoop berjumlah RM2 juta kepada 20 koperasi negeri Johor.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial