PENANGAN MURTABAK PAK HAMID

image (1)

KEENAKAN murtabak paling popular di Pontian terletak pada resepi tersendiri yang digunakan sejak 37 tahun lalu

Bau aroma murtabak Pak Hamid yang menyelerakan pasti membuatkan sahaja yang berada di sekitar kawasan tepi laut Pontian, akan singgah ke gerai yang terletak di hadapan Dewan Jubli Intan Pontian untuk menikmati hidangan yang istimewa ini.

Sebaik sahaja gerai dibuka seawal jam 2 petang, Abdul Hamid Abu, 58 atau lebih dikenali sebagai Pak Hamid, sudah tidak menang tangan menyiapkan tempahan murtabak oleh pelanggannya.

Keenakan murtabak yang dijual dalam pelbagai saiz seperti 'king', 'family', “sederhana” ini terletak pada resipi tersendiri yang digunakan oleh Pak Hamid sejak hampir 37 tahun lalu.

Justeru, tidak hairanlah murtabak Pak Hamid digelar murtabak paling popular di Pontian oleh penduduk tempatan.

Menurut Pak Hamid, adunan daging yang mempunyai rasa rempah tersendiri dimasak bersama telur dan bawang diletakkan dalam setiap lapisan murtabak.

Jelasnya, pelanggan boleh melihat sendiri cara pembuatan murtabak di gerai dan kemudian dibakar sehingga menghasilkan bau yang cukup menyelerakan.

Malah, tempat duduk dan meja makan turut disediakan bagi memudahkan pelanggan menjamah murtabak sambil menikmati pemandangan laut di hadapan Taman Awam Tepi Laut Pontian.

Bagi bekas pesara Majlis Daerah Pontian( MDP) ini, dia sedaya upaya mahu mengekalkan mutu murtabak yang dibuat meskipun harga barang sedang melambung kini.

“Gerai murtabak ini sudah dibuka sejak tahun 1978 lagi, yang ketika itu berada di sebelah bangunan Tabung Haji, selepas ia terbakar enam tahun kemudian kami berpindah di gerai berhampiran Terminal Pengangkutan Awam Pontian Lama.

“Kami mula beroperasi di gerai baru pada tahun 1998 sehingga ke hari ini,” katanya.

“Setiap hari, tak menang tangan saya hendak melayan permintaan orang ramai yang mahu membeli murtabak, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan,” katanya yang turut dibantu anak-anak.

Pak Hamid turut menyediakan perkhidmatan tempatan melalui telefon.

Bagi pelanggan yang hendak membawa pulang istimewa ini,  murtabak ini akan dibungkus dengan cara tradisi menggunakan daun pisang.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial