Penantian Geran Hak Milik Tanah Berakhir

imagePLENTONG, 11 Jun – Penantian puluhan tahun penduduk tiga buah kampung akhirnya terjawab dengan pemberian geran hak milik tanah kepada 105 penduduk yang merupakan peneroka awal kampung-kampung tersebut.

Penyampaian geran tersebut kepada penduduk Kampung Sri Bahagia, Kampung Rumah 10 dan Kampung Jalan Jasa dalam Mukim Plentong disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin di Surau Nur Ilham Kampung Sri Bahagia, hari ini.

Menurut beliau, pemberian ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri menyelesaikan isu pemilikan tanah kampung-kampung orang Melayu dalam kawasan Pasir Gudang selain mengukuhkan dasar Kerajaan Negeri yang mahu lebih ramai orang Melayu menetap di kawasan bandar.

“Atas keprihatinan Kerajaan Negeri, kita telah tebus tanah di kawasan ini mengikut harga pasaran daripada syarikat yang memiliki tanah ini pada ketika itu, dan kita tawarkan kepada penduduk dengan harga yang lebih rendah bagi memenuhi keinginan peneroka di kawasan ini memiliki tanah.

“Ini juga sebahagian daripada usaha kita meneruskan hasrat dan dasar kita mengekalkan penempatan orang-orang Melayu di kawasan bandar, dan atas sebab itu kita telah kekalkan harga Rumah Mampu Milik Johor berada pada tahap yang rendah selain membina banyak Taman Perbadanan Islam”, katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah.

Beliau dalam pada itu juga berjanji untuk membantu penduduk kawasan tersebut menaiktaraf infrastruktur kawasan kampung agar setanding dengan persekitaran kawasan bandar.

“Saya berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Majlis Daerah dapat membantu menyalurkan bantuan supaya kawasan ini menjadi kawasan penempatan orang Melayu yang moden.

105 orang penerima tersebut terdiri daripada 19 orang penduduk Kampung Sri Bahagia, 26 orang dari Kampung Jalan Jasa dan 60 penerima dari Kampung Rumah 10.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial