Pencemaran: 49 kes dihadapkan ke mahkamah

KOTA ISKANDAR: Tindakan undang-undang telah diambil ke atas 49 kes pencemaran air dan udara yang dikesan di Johor sepanjang 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes melibatkan pencemaran air, 17 (pembakaran terbuka), enam (asap hitam kenderaan) dan satu kes pencemaran udara daripada premis kilang.

“Beberapa kes berkenaan pencemaran yang turut diambil tindakan mahkamah melibatkan ketidakpatuhan kepada syarat lesen (6), ketidakpatuhan kepada notis arahan (4) dan satu kes ketidakpatuhan kepada syarat kelulusan Penilaian Alam Sekitar (EIA),” katanya ketika menjawab soalan Ali Mazat Salleh (BN-Bukit Permai) Persidangan Dewan Undangan Negeri ke 13 di sini, hari ini.

Wakil Bukit Permai sebelum itu mengajukan soalan berkaitan tindakan yang diambil terhadap kilang-kilang yang didapati melakukan kesalahan pencermaran sungai sehingga berlaku kes penutupan loji air.

Menurut Ayub, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah mengambil tindakan terhadap premis yang didapati melakukan kesalahan mencemar Sungai Johor, sehingga berlakunya penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semanggar, dan LRA Sungai Johor, baru-baru ini.

Beliau berkata, notis arahan dikeluarkan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, agar premis memberhentikan operasi kilang serta merta dan menjalankan pembersihan tumpahan minyak.

“Sampel pencemaran diambil JAS dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ‘finger print analysis’. Keputusan analisa kimia adalah positif, menunjukkan kandungan pencemar dalam air Sungai Semanggar adalah sama dengan minyak premis tersebut.

“JAS telah menyediakan kertas siasatan berkaitan dengan pertuduhan Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekililing 1974, sekatan mengenai pencemaran perairan daratan. Sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih daripada rm100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” tambahnya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial