PENCEROBOHAN TANAH KERAJAAN DI KG. ABDUL RAHMAN YASSIN

jcorp

Baru-baru ini, Pegawai Khas kepada pengerusi DAP Johor Saudara Sheikh Omar Ali telah membuat kenyataan Media bertarikh 20hb October 2015 yang mengelirukan masyarakat setempat berkenaan pencerobohan tanah kerajaan oleh Orang Asli Rompin, Pahang di Kg. Abdul Rahman Yassin, Kluang iaitu berhampiran dengan kawasan kaki Gunung Lambak.

Saya ingin menjelaskan bahawa : 

1) Status tanah yang diceroboh adalah tanah kerajaan PTD4340 yang pernah mempunyai kelulusan LPS untuk tujuan tanaman kontan sehingga 31 Disember 2006. Ia juga bukan kawasan milik individu atau tanah hutan simpan Renggam (pernah diwarta kerajaan Bil 531 bertarikh 4 Nov 1923) seluas 2286.88 ekar seperti yang didakwa.

2) Pada tahun 1970-an telah wujud perkampungan orang asli di kaki Gunung Lambak, namun pada tahun 1997 ianya telah dipindahkan ke Kampung Tanah Runtuh Batu 4 di mana 23 buah rumah telah didirikan beserta 6 ekar tanah pertanian untuk setiap keluarga yang disediakan oleh kerajaan di bawah Program Penempatan Tersusun dan Projek Penyusunan Semula Kampung yang meliputi kemudahan awam, projek tanaman secara komersial dan penyediaan sistem perhubungan sempurna agar Orang Asli tidak tercicir dari pembangunan arus perdana.


3) Pada tahun 2009, 2 buah keluarga Orang asli yang diketuai oleh Ajum bin Bakar dan Azmi Bin Tulis dari Kampung Tanah Runtuh Batu 4 telah kembali menceroboh ke Kampung Abdul Rahman Yassin dan membina semula penempatan di situ.

4) Pada Mei 2011, Ajum bin Bakar telah mempelawa saudara maranya dari suku Jakun yang berasal dari Rompin, Pahang seramai 20 buah keluarga untuk tinggal bersama atas sebab kesukaran hidup termasuk masalah peribadi dan isu-isu dalaman dalam Kumpulan orang Asli di Pahang. Manakala, 1 keluarga dari Kampung Punjut Kahang turut serta dalam pencerobohan ini.

5) Pada 15 Jun 2012, JAKOA telah mengeluarkan satu surat dengan No. Rujukan JAKOA/KLG A1.95/526 Jld 3 (72) kepada Penduduk Orang Asli yang berada di Kampung Abdul Rahman Yassin, Kluang yang menasihatkan agar mereka kembali ke perkampungan masing-masing memandangkan tempat yang mereka ceroboh bukan Rizab JAKOA yang diluluskan oleh kerajaan Negeri. 

6) Aktiviti yang dilakukan oleh mereka selain mencari barang lusuh dan mengambil upah meracun di kebun, mereka juga diupah untuk mencari batu bernilai tinggi yang berada di kaki gunung Lambak untuk di jual ke luar negara oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang boleh merosakkan keseimbangan ekosistem Gunung.

7) Notis bertarikh 09 September 2014 dari Pejabat Tanah Daerah Kluang dan Notis pengosongan bertarikh 03 September 2014 dari JAKOA telah diserah hantar namun mereka enggan mengikut arahan untuk mengosongkan kawasan yang diceroboh.

8) Maka satu Mesyuarat Penyelarasan yang dihadiri oleh Pegawai Pentadbir Tanah Daerah Kluang, Pengarah JAKOA Negeri Pahang, Pengarah JAKOA Negeri Johor dan Pegawai JAKOA Daerah Kluang telah diadakan pada 11 November 2014 dan satu lawatan telah dibuat oleh pihak JAKOA Pahang yang telah memujuk supaya mereka kembali ke Rompin, Pahang. Namun ianya tidak berjaya.

9) Susulan dari itu, 4 siri siasatan semula bagi tujuan penguatkuasaan telah dilakukan oleh Pejabat Tanah Kluang pada 03 Oktober 2015, 04 Oktober 2015 (pagi&petang) dan 10 Oktober 2015 telah dijalankan ke tapak dengan memberi maksud kepada penceroboh supaya beredar dari lokasi tersebut. 

10) Mesyuarat Penyelarasan kali ke 2 pada 15 Oktober 2015 yang melibatkan Pegawai Pentadbir Tanah Daerah Kluang, Pengarah JAKOA Negeri Pahang, Pengarah JAKOA Negeri Johor, Pegawai JAKOA Daerah Kluang, Pegawai JKKK Kampong Batu 8 Rompin, Pahang (Orang Asli) dan lain-lain agensi penguatkuasaan telah bersetuju melaksanakan tindakan berikut:

a) Merobohkan 5 buah premis yang tidak berpenghuni pada 18 Oktober 2015.

b) Merobohkan 16 buah premis yang berpenghuni pada 19 Oktober 2015 dan kesemua penghuninya akan dihantar balik ke Pahang dengan kemudahan yang telah dipersetujui seperti lori dan kemudahan pengangkutan yang lain. 
*operasi merobohkan dijalankan secara berperingkat sehingga ke hari ini 25 October 2015.

11) Pada 21 Oktober 2015, satu rundingan telah dibuat oleh pihak JAKOA dan bersetuju 

a) Memberi sumbangan sebanyak RM2,000 kepada setiap keluarga.
*Walaubagaimanapun, pada tarikh 23hb October sumbangan yang diberikan dinaikkan kepada RM2500.00

b) Setiap keluarga yang dipindahkan akan menerima sebuah rumah batu 3 bilik dengan keluasan 600 kaki persegi (20×30), lengkap dengan kemudahan api dan air (kos pemasangan utiliti ditanggung sepenuhnya oleh JAKOA)

c) Pengangkutan penghantaran pemindahan penduduk dan barang disediakan oleh JAKOA

d) Semua keluarga yang terlibat akan dimasukan sebagai Peserta Pembangunan Tanah setelah projek diluluskan oleh pihak berkuasa negeri; dan

e) Rumah yang ditumpangi oleh penduduk yang terlibat akan dibaikpulih mengikut kesesuaian dan keperluan sementara menanti rumah seperti di para (b) siap dibina.

Disini saya ingin menjelaskan bahawa perkara ini telah diselesaikan secara prosedur dan musyawarah namun terdapat anasir-anasir luar yang menyukarkan pentadbiran kerajaan. Keadaan ini yang telah menyebabkan timbul pelbagai andaian dan persepsi melibatkan masyarakat setempat. 

Kerajaan Johor sangat menitik beratkan kesepakatan dalam apa jua tindakan selari dengan Konsep/ Slogan Muafakat Johor.

Saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan pentadbiran Daerah Kluang menggesa semua pihak yang tidak bertanggungjawab ini agar menghentikan tohmahan dan cerita yang tidak benar mengenai perkara ini.

Dan cara pihak pembangkang mempertahankan perpindahan orang asli dari tempat pencerobohan ke kawasan yang lebih baik dan diurus selia oleh JAKOA dengan kawasan yang lengkap dengan keperluan asas adalah seperti mahu orang asli terus ketinggalan dalam arus pembangunan negara termasuk dari segi pendidikan.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial