PENDIDIKAN ISLAM DIMARTABATKAN AGAR TERUS RELEVAN MEMBINA TAMADUN MANUSIA

TANGKAK: Sistem pendidikan Sekolah Agama Johor perlu diislahkan agar terus relevan dengan kepantasan maklumat semasa.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, persekitaran global telah mengubah kehidupan masyarakat dan tiada tanda-tanda arus perubahan yang deras melanda ini akan berhenti.

“Kita hidup dalam dunia sains, dunia teknologi dan digital, yang semuanya hanya di hujung jari.

“Pendidikan Islam di Johor memerlukan sistem yang luas, progresif dan sistem yang boleh memanfaatkan segala bentuk aplikasi dan pendekatan moden untuk mengukuhkan kefahaman anak-anak Johor tentang Islam.

Justeru, sistem pendidikan kita perlu bersifat sezaman, relevan dengan dampak kepantasan maklumat yang datang, sistem pendidikan yang boleh mengguna pakai lambakan pengetahuan dan maklumat di sekeliling kita, bukan dilemaskan olehnya,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor Peringkat Negeri Kali Ke-18 di sini, semalam.

Mohamed Khaled berkata, sistem sekolah agama bukan lagi sekadar pelengkap kepada pendidikan bersepadu yang mengajarkan sisipan fardu ain dan kifayah.

“Sebaliknya, sekolah agama telah menjadi sekolah arus perdana. Kita harus bersedia menerima dan melakukan pembaharuan. Kita tidak boleh berkeras dengan cara yang lama, sistem yang lama dan imej yang lama,” sambil menambah sekolah agama juga berperanan dalam membongkar bakat dan potensi pelajar.

Katanya, masyarakat hari ini berhadapan masalah kekontangan bakat-bakat besar yang boleh diharapkan untuk memimpin negara. Di sekolah, kita bukan setakat menyubur nilai dan akhlak, tetapi mengajar anak-anak kita untuk memimpin.

“Kita mahu, apabila mereka dewasa dan menjadi pemimpin kelak, mereka menjadi pemimpin yang tidak makan suap. Pemimpin yang bermoral dan soleh, pemimpin yang punya prinsip dan meletakkan kepentingan bangsa, negeri dan negara pada kedudukan tertinggi.

“Bukan yang menghambakan diri pada pangkat, gelaran dan serta ganjaran mewah, tetapi yang benar-benar mencintai perjuangan,” katanya.

Ujar beliau lagi, mengangkat peranan sekolah agama juga bererti mengangkat peranan Islam.

“Islam memainkan peranan besar dalam politik, ekonomi, dan pembangunan bangsa kita, faktor dominan dalam pentas politik global.

“Jika kita boleh membangunkan sistem perbankan dan kewangan Islam sehingga menjadikan Malaysia pasaran kewangan Islam berstatus global dan terbaik di dunia, sudah semestinya kita juga boleh melakukannya untuk pendidikan Islam,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan anugerah kepada Tokoh Sekolah Agama Johor dan Tokoh Sekolah Menengah Agama Johor.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial