Pendidikan Persediaan Utama Hadapi Abad Ke-21

Dato’ Mohamed Khaled Nordin menyaksikan pertunjukan silat ketika Mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia

PASIR GUDANG, 4 Feb – Kerajaan Johor proaktif menyediakan peluang pendidikan terbaik kepada pelajar di negeri ini bagi meningkatkan prestasi mereka sebagai persediaan menghadapi abad ke 21.

Menurut Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, perkara itu penting bagi membolehkan generasi Johor memiliki asas pendidikan terbaik dalam menjamin kejayaan mereka pada masa hadapan kelak.

Beliau berkata antara inisiatif itu termasuklah mengadakan kerjasama dengan pelbagai institusi selain Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seperti institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Katanya, inisiatif itu termasuk kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dalam usaha melatih guru-guru di negeri ini dalam teknik pengajaran mata pelajaran sains, teknologi kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan lebih menarik.

“Kita sudah pun melatih kira-kira 40 orang guru dan akan melatih ramai lagi supaya mereka dapat mengajar dengan cara yang lebih menarik kepada murid-murid.

“Kalau anak-anak kita tidak minat kepada mata pelajaran-mata pelajaran STEM ini, kita tidak boleh menjadi negeri yang inovatif” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia di sini hari ini.

Tambah beliau, jika Johor ingin terus maju, negeri dan rakyatnya perlu mejadi inovatif dan menguasai STEM adalah salah satu daripada jalannya.

“Kalau kita hendak maju dan berjaya, ekonomi kita mesti besandarkan inovasi. Kita tidak boleh berjaya dengan menjadi negara yang sentiasa meminjam teknologi orang lain,” katanya. 

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyerahkan peruntukan RM20,000 untuk penyediaan kelas Abad ke-21 sekolah berkenaan, seperti yang dibentangkan dalam Bajet Johor 2017.

Pada masa yang sama, turut diumumkan pembinaan Sekolah Agama Taman Bukit Dahlia di sekolah berkenaan yang akan dibina tahun ini dengan kos RM4.1 juta.

Ia akan dibina bersebelahan SK Taman Bukit Dahlia.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial