Penduduk Kulai Alami Banjir Kilat

JOHOR BAHRU, 19 Mac — Sebilangan penduduk di daerah Kulai semalam terjejas apabila kawasan kediaman mereka dilanda banjir kilat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata kejadian berlaku antara 6 petang hingga 8 malam, namun tiada sebarang pemindahan dibuat.

Tambahnya keempat-empat kawasan yang dinaiki air antara 0.5 hingga 1 meter itu ialah Taman Wedo, Taman Sawit Ria, Taman Palma dan Rumah Murah Kelapa Sawit.

“Banjir berpunca akibat sebuah kolam takungan yang dibina oleh sebuah pemaju pecah menyebabkan air mengalir masuk ke rumah penduduk di Taman Wedo.

“Selain itu sebuah lagi kolam tangkungan yang terletak berhampiran jalan besar, cetek dan tidak dapat menampung aliran air lalu melimpah ke jalan besar dan kawasan Rumah Murah Kelapa Sawit,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu di Taman Sawit Ria dan Taman Palma, banjir kilat berlaku kerana pertembungan hujan lebat serta air yang melimpah dari Taman Wedo dan Rumah Murah Kelapa Sawit ke dalam Sungai Pontian.

Ayub berkata sebagai penyelesaian jangka pendek, penguatkuasaan ke atas pemaju perlu dilakukan bagi memastikan ia mematuhi Pelan Kawalan Hakisan dan Pemendapan Tanah (ESCP).

Selain itu, kerja-kerja penggalian anak sungai Pontian harus dilaksanakan oleh jabatan terlibat bagi melancarkan aliran air ke sungai, katanya dan menambah pada masa sama, kerja-kerja pembersihan perlu dibuat secara berkala setiap tahun.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan terbabit dinasihatkan agar mengkaji semula sistem saliran sedia ada kerana ia tidak dapat menampung aliran air apabila hujan lebat berpanjangan serta terdapat pembangunan di kawasan tersebut,” katanya. – BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial