PENDUDUK PARIT JAWA MUAR, SIMBOL PERPADUAN KAUM YANG UTUH

pekan parit jawa

MUAR, 30 Ogos (Bernama) — Jika anda ke Parit Jawa di sini yang terkenal dengan masakan asam pedasnya selain ikan segar, anda akan terpegun dengan suasana keharmonian kaum di daerah ini.

Di kawasan ini, anda akan melihat betapa eratnya hubungan orang Melayu dan Cina yang duduk bersama dan berbual mesra tidak kira di mana sahaja anda berada di situ, baik di kedai kopi, di jeti nelayan atau di pasar.

Jeti Parit Jawa di pekan Parit Jawa umpamanya bukan sahaja merupakan nadi ekonomi untuk 1,094 nelayan di daerah ini tetapi menjadi tempat untuk orang ramai beriadah dan berehat terutama pada waktu petang.

Penduduk di sini akan berkunjung ke kawasan itu setiap hari yang bukan sahaja menempatkan pangkalan nelayan tetapi juga medan selera, kedai menjual alat menangkap ikan, bengkel membaiki bot, kedai makanan laut kering dan taman permainan.

Terpancar kegembiraan di wajah mereka ketika berbual tanpa mengira latar belakang kaum dan agama serta anutan politik yang menjadi lambang perpaduan kaum di sini.

Kemungkinan disebabkan Mukim Parit Jawa mempunyai taburan penduduk antara Melayu dan Cina yang hampir sama bilangannya namun semua perbezaan yang ada tidak pernah menjadi halangan untuk mereka bergaul seperti adik beradik.

Bukan sahaja masyarakat Melayu malah masyarakat Cina turut mendiami perkampungan Melayu dan ramai juga masyarakat Cina yang bekerja sebagai nelayan dan menjadikan usaha itu sebagai sumber pendapatan utama.

Seorang nelayan, Hamid Shahiran, 47, berkata, tidak kira apa pun yang berlaku dalam negara seperti soal perkauman dan perbezaan politik, penduduk di Parit Jawa tetap berbangga hidup bersama sejak sekian lama.

"Inilah cara hidup kami. Melayu kenduri, Cina pun datang. Duduk minum bersama dan bertanyakan soal kesihatan masing-masing. Kami hidup rukun damai sejak dahulu. Dah macam keluarga," katanya.

Katanya perpaduan adalah perkara yang lebih utama dan sudah menjadi asas kehidupan masyarakat di sini yang sudah bergaul dan tinggal bersama dalam satu kampung sejak puluhan tahun lalu.

"Tidak ada sebab untuk kita mengorbankan nikmat perpaduan yang dikecapi hanya kerana berbeza pendapat atau berlainan fahaman dalam hal-hal tertentu. Hubungan antara kaum di sini boleh dijadikan contoh di tempat lain," katanya.

Bagi Leong Ah Keong, 67, tidak ada sebab bagi penduduk di sini untuk bertelingkah walaupun menjalani kehidupan harian dalam kalangan berbilang bangsa dan kepercayaan agama yang berlainan.

"Ini anugerahlah. Untuk apa mahu gaduh. Kami semua sudah (jadi) adik beradik lah.

"Kita sudah hampir 58 tahun Merdeka. Saya banyak kawan orang Melayu dan tengoklah nelayan yang saling membantu dan mereka pergi ke laut menangkap ikan bersama-sama," katanya.

Sebelum beredar, Leong sempat menasihatkan semua generasi kaum di negara ini agar mengambil iktibar bencana yang berlaku di negara yang bergolak dan berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu yang boleh merosakkan perpaduan kaum.

"Cakap sama mereka. Mahu hidup di negara yang rosak atau mahu senang makan minum walaupun tidak kaya," katanya sambil menggulung rokok daunnya.

— BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial