PENEMPATAN SEMULA PENDUDUK DENGAN PERUNTUKAN 4.5 JUTA – HASNI

1458662_361039794032605_1770969286_n

 

PONTIAN – Keperitan hidup kira-kira 168 penduduk di Kampung Nelayan dan Kampung Sri Tanjung di Benut berhadapan dengan pelbagai masalah seperti hakisan, air pasang sehingga menyebabkan kediaman mereka rosak, akan berakhir apabila penempatan semula dilaksanakan.

Adun Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, sebuah tapak bagi projek penempatan semula penduduk dengan peruntukkan sebanyak RM4.5 juta telah dikenalpasti di Kampung Parit Makuaseng.

”Saya berharap sebelum akhir tahun ini, penduduk daripada dua buah kampung ini yang terlibat dengan projek penempatan semula akan mendapat hak milik masing-masing.

“Tapak bagi projek penempatan semula ini akan ditambak dan infrastruktur asas seperti jalan masuk, perparitan akan disediakan bagi keselesaan penduduk,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penempatan baharu penduduk pada majlis Seminar Harta Perdana di Dewan Jubli Intan, di sini, baru-baru ini.

Ir Hasni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri berkata, proses pemindahan semula penduduk ke kawasan penempatan baharu memakan masa kerana perlu mencari tapak yang sesuai.

“Selain itu, kerja-kerja penempatan semula penduduk berdepan dengan kesukaran untuk mengenalpasti penduduk yang layak.

"Ini kerana terdapat dua atau tiga keluarga tinggal dalam rumah yang sama.

“Malah, ada juga rumah penduduk yang kelihatan kosong, namun apabila dikemaskini rupanya terdapat dua keluarga yang tinggal di rumah tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi, penduduk terlibat akan dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu berkemampuan, memerlukan pinjaman dan tidak mampu.

“Bagi golongan berkemampuan, mereka berupaya membina rumah baharu mereka di atas tapak penempatan baharu, manakala bagi yang memerlukan pinjaman perumahan mereka akan dibantu.

“Ini termasuklah pinjaman bagi projek perumahan mesra rakyat dan rumah mampu milik Johor.
 
"Manakala bagi yang tidak mampu, mereka memerlukan bantuan perumahan yang disediakan agensi-agensi kerajaan seperti Baitulmal dan sebagainya,"katanya.

Penempatan penduduk di Kampung Nelayan dan Kampung Sri Tanjung Benut yang mula diteroka pada awal tahun 1960an, sudah tidak sesuai lagi diduduki pada masa depan.

Oleh itu, kerajaan negeri dan pusat berganding bahu mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan penduduk tinggal lebih selesa.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial