Pengangkutan Awam Di Iskandar Malaysia

irda

JOHOR BAHRU 13 Okt. – Dalam memastikan Iskandar Malaysia terus berdaya saing di peringkat antarabangsa, kerajaan diharap dapat memberi perhatian kepada pembangunan sistem pengangkutan awam di wilayah berkenaan dalam Bajet 2017.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, menerusi sistem pengangkutan awam yang efektif dan efisien, Iskandar Malaysia mampu menjadi perhatian pelabur.

Menurutnya, dengan menyediakan sistem pengangkutan awam yang baik di wilayah berke­naan bukan sahaja diyakini dapat membawa limpahan ekonomi, malah manfaat serta tempias kepesatan di kawasan tersebut dapat dinikmati rakyat.

“Saya kira usaha menyediakan pengangkutan awam yang lebih efektif dan efisien mampu meletakkan Iskandar Malaysia dalam saingan baik bukan sahaja dari segi pembangunan ekonomi tetapi juga memberi manfaat kepada rakyat tempatan.

“Kita mempunyai banyak sistem pengangkutan awam yang diusulkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk Iskandar Malaysia,” katanya selepas merasmikan Geoinformatics & Geomatics Festival 2016 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Dr. Rose Alinda Alias.

Ismail berkata, antara sistem pengangkutan awam yang dirancang diperkenalkan di Iskandar Malaysia ialah Bas Rapid Transit (BRT), Sistem Transit Rapid (RTS) dan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR).

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya juga berharap Bajet 2017 turut memberi perhatian kepada isu perumahan terutama bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan bekalan air yang disifatkan sebagai penting dalam memacu pembangunan di Iskandar Malaysia.

Tambahnya, permintaan terhadap perumahan di wilayah berkenaan juga akan terus dite­rima memandangkan populasi di Iskandar Malaysia dijangka meningkat kepada tiga juta orang menjelang 2025 daripada 1.5 juta direkodkan pada tahun lalu.

Beliau menjangkakan seba­nyak 1.2 juta unit rumah diperlukan menjelang 2025 berbanding 700,000 yang ada sekarang. – UTUSAN ONLINE

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial